Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Proton merekodkan jualan 14,033 unit kenderaan pada Februari 2023 meningkat 52 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah jualan adalah 20.1 peratus lebih tinggi berbanding Januari 2023.

Dalam kenyataan di sini, Proton berkata, bagi dua bulan pertama tahun ini, volum meningkat 88 peratus kepada 25,714 unit.

Susulan prestasi ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berharap dapat meneruskan trajektori pertumbuhan jualannya sepanjang tahun ini.

Selari dengan itu, katanya, Proton akan membuat beberapa pengumuman untuk membentuk hala tuju syarikat untuk 2023 dan seterusnya tidak lama lagi.

“Tahun 2023 adalah tahun yang sibuk kerana Proton akan memperkenalkan segmen baharu yang memasuki pasaran kenderaan tenaga baharu dan membina kelayakan kenderaan elektrik (EV),” katanya.

Penguasaan Proton pada bulan lalu dianggarkan 22.7 peratus, meletakkannya di tempat kedua dalam kedudukan.

Kedudukan itu mewakili 7.3 peratus kenaikan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Moden Proton Persona, sedan dari segmen B menjadi antara pesaing apabila terjual 2,313 pada bulan lalu.

Ia sudah menembusi jualan 2,000 unit untuk bulan ketiga berturut-turut.

Manakala Proton X50 mengekalkan peneraju pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B dan kekal sebagai SUV paling popular secara keseluruhan dengan 3,247 unit terjual pada bulan yang sama.

Jualan SUV ini meningkat sebanyak 11 peratus dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Proton Exora pula menyaksikan kenaikan 216 peratus berbanding tempoh sama, Proton Saga merekodkan jualan 6,345 unit, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai model Proton terlaris setakat tahun ini.

Proton X70 merekodkan penghantaran 981 unit pada Februari lalu dan 1,914 unit secara keseluruhan untuk tahun ini dan Proton Iriz mencatatkan prestasi terbaiknya sejak Ogos 2022 dengan 811 unit terjual. – MalaysiaGazette