KLN mengumumkan penambahbaikan terkini sistem e-Konsular edisi ketiga.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri (KLN) mengumumkan penambahbaikan terkini sistem e-Konsular edisi ketiga (e-Konsular 3.0).

Menurut kenyataan dari kementerian itu, sistem berkenaan telah mula diperkenalkan secara berperingkat sejak 30 Oktober tahun lalu.

Kata kenyataan itu, antara kemas kini dan penambahbaikan utama e-Konsular 3.0 ialah pengenalan modul Permohonan Surat Pengesahan Kematian Rakyat Malaysia di Luar Negara dan ciri e-Pembayaran untuk permohonan Sijil Kelakuan Baik (SKB).

Bermula 13 Mac ini, pemohon SKB boleh membuat pembayaran dalam talian sama ada melalui laman web e-Konsular atau aplikasi mudah alih e-Konsular sebelum hadir untuk mengambil cetakannya di Bahagian Konsular, KLN.

Aplikasi mudah alih e-Konsular boleh dimuat turun dari Google Play Store, Apple App Store dan Huawei App Gallery.

KLN juga akan memperkenalkan lain-lain pilihan pembayaran tanpa tunai seperti terminal Point-of-Sale (POS) dan e-Dompet di Bahagian Konsular secara berperingkat.

Justeru, pembayaran tunai bagi SKB tidak akan diterima selepas 31 Ogos ini untuk membolehkan peralihan kepada pembayaran tanpa tunai dengan sepenuhnya.

Kemudahan e-Pembayaran di Pejabat Perwakilan Malaysia di seluruh dunia akan diperkenalkan secara berperingkat bergantung kepada kesediaan teknikal di negara-negara hos.

KLN sentiasa komited untuk mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada semua pemegang taruh, baik di dalam mahupun di luar negara. – MalaysiaGazette