Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bercakap pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM Tahun 2022 di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman,Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan inkues berhubung kes seorang anggota polis berpangkat Sarjan yang ditemui maut dengan tiga kesan tembakan dalam kejadian di Balai Polis Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 19 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sedang dalam proses menyediakan dokumen lengkap berkaitan kes berkenaan untuk meneruskan permohonan inkues mengenai kematian anggota tersebut yang mengejutkan warga PDRM.

“Itu adalah insiden yang sangat mendukacitakan dan dari sudut siasatan, kita ambil maklum bahawa kes ini telah diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).

“Pihak polis Pulau Pinang sudah melengkapkan siasatan dan menerima laporan patologi serta hasil bedah siasat.

“Dalam perkembangan terkini kes berkenaan, mereka sedang menyediakan dokumen sepatutnya untuk buat (mohon) inkues berhubung insiden itu bagi mengenal pasti apa punca sebenar yang menyebabkan kematian anggota kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 PDRM di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Tambah Acryl Sani, pihaknya dimaklumkan sebelum ini bahawa anggota berkenaan pernah menghadapi masalah keluarga dan ia telah diambil tindakan (penyelesaian) oleh ketua polis daerah.

“Apa yang berlaku ini tentu sekali adalah perkara di luar kawalan. Bagaimanapun, ia tidak menghalang untuk kita mencari jalan menambah baik SOP berkenaan bagi memastikan perkara seumpama tidak berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas lagi mengenai tahap kesihatan mental anggota polis secara keseluruhan,  katanya Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mempunyai satu unit kaunselling yang akan sentiasa memantau serta meneliti perkara itu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan mengenai kejadian itu sudah selesai dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kematian anggota tersebut.

Mendiang Sarjan Jana Milie, 51, yang ditemukan meninggal dunia di belakang balai berkenaan dengan kesan tembakan pada dada, leher dan kepala.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, sepucuk pistol turut ditemukan bersama mangsa.-MalaysiaGazette