Acryl Sani Abdullah Sani bergambar bersama penerima-penerima anugerah perkhidmatan cemerlang pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM Tahun 2022 di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman,Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar seramai 369 anggota polis bagi membantu mangsa banjir di negeri Johor sejak 1 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyifatkan banjir yang melanda kali ini merupakan bencana alam yang terburuk berlaku di negari itu pada tahun ini berbanding 2006.

Katanya, pelbagai sumber tenaga dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan beberapa pasukan penyelamat yang lain juga telah digerakkan dalam operasi menyelamat mangsa banjir di negeri itu.

Dalam pada itu, katanya, operasi kepolisian di Balai polis Chaah di Segamat dihentikan buat sementara waktu sehingga keadaan pulih selepas ia ditenggelami air.

Bercakap pada sidang akhbar Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Bukit Aman, di sini, hari ini, Acryl Sani berkata, kejadian di balai polis itu turut mengakibat seramai 126 mangsa terjejas telah dipindahkan segera ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Balai Polis Bahau masih diteruskan seperti biasa walaupun pagarnya runtuh akibat banjir.

Jumlah angka banjir di Johor meningkat awal pagi tadi kepada 33,149 orang, melibatkan membabitkan 10 daerah.

Terdahulu dalam majlis itu, Acryl Sani mengumumkan seramai 10,281 pegawai dan anggota menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM bagi tahun 2022 di kontinjen seluruh negara.

Menurut beliau, anugerah itu merupakan manifestasi pengiktirafan kerajaan kepada penjawat awam yang telah mempamerkan mutu perkhidmatan yang cemerlang sambil mengharapkan pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat kepada warga PDRM untuk  lebih gigih pada masa hadapan.- MalaysiaGazette