Tiga suspek bersenjata parang yang terlibat dalam kejadian samun ke atas seorang wanita di tepi jalan di Klang 16 Februari lalu berjaya dicekup polis.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki yang dikehendaki polis selepas disyaki terlibat dalam samun bersenjat ke atas seorang penyelia wanita sebuah pasar raya mini di tepi Jalan Mohtar, Kapar bulan lalu berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S.Vijaya Rao berkata, ketiga-tiga suspek itu berjaya diberkas sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Utara dalam beberapa siri serbuan berasingan menerusi Op Cantas yang dijalankan sejak 1 Mac lalu.

Serbuan pertama Rabu lalu, kira-kira jam 8.20 malam, polis berjaya menangkap dua suspek berumur antara 36 dan 43 tahun di Jalan Dato Dagang dan Taman Sentosa, Klang.

Hasil soal siasat mereka, membawa tangkapan suspek ketiga yang berusia 46 tahun di Jalan Dato Yusuf Shahbudin Taman Sentosa, Klang kira-kira jam 12.05 tengah malam pada 2 Mac lalu.

Tambah Vijaya Rao, menerusi serbuan itu  polis turut menemui sebuah kereta jenis Honda City yang dipercayai digunakan suspek ketika menjalankan kegiatan jenayah samun.

Semakan nombor pendaftaran Honda City tersebut mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Malah, katanya, kereta yang digunakan suspek didapati pernah dilaporkan hilang.

“Ketiga-tiga suspek didapati mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah sementara ujian saringan air kencing juga mendapati salah seorang suspek disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

“Semakan lanjut polis juga mendedahkan suspek turut terlibat dalam beberapa siri samun tepi jalan dan pecah masuk kedai besi buruk di sekitar Lembah Klang selama ini.

“Kesemua suspek kini telah direman enam hari untuk siasatan lanjut dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan,” tegasnya. – MalaysiaGazette