simpanan KWSP
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangkakan pulangan yang lebih optimum bagi simpanan syariah jika aset simpanan syariah diasingkan sepenuhnya daripada aset simpanan konvensional.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sejak simpanan syariah diperkenalkan pada tahun 2017, pihak KWSP giat berusaha meningkatkan model perniagaan semasa dengan mengasingkan sepenuhnya aset simpanan syariah daripada melabur bersama aset patuh syariah dalam simpanan konvensional.

“Dengan pengasingan ini, simpanan syariah akan mempunyai peluang strategi sendiri dan peruntukan aset strategik yang berbeza dengan simpanan konvensional.

“Ini dapat memastikan kedua-dua simpanan syariah dan simpanan konvensional mempunyai pulangan jangka panjang yang lebih optimum, berdaya saing dan mampan,” katanya pada sidang media selepas taklimat prestasi kewangan KWSP di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata, KWSP akan melancarkan pemisahan aset simpanan syariah dengan aset simpanan konvensional pada 1 Januari 2024 seperti yang dinyatakan dalam pengumuman Belanjawan 2023 baru-baru ini.

Katanya, pemisahan aset simpanan syariah daripada aset simpanan konvensional membolehkan KWSP meletakkan peratusan had bagi setiap pelaburan yang diinginkan, dan bukannya kerana pelaburan dalam simpanan syariah tidak halal.

Namun katanya, pulangan yang diperoleh perlu melihat kepada keadaan ekonomi semasa, sama ada di peringkat domestik mahupun di luar negara.

“Sebagai contoh, jika pasaran saham meningkat naik dengan banyak, pulangan keseluruhan akan naik, dan ini akan membolehkan kita memberi pulangan yang tinggi, tetapi apa yang kita lihat tahun lepas, pasaran saham tidak menunjukkan prestasi yang baik, dan KWSP perlu menangani isu tersebut.

“Jadi, dari segi portfolio, kita kena pandai seimbangkannya, jika satu portfolio pelaburan turun, manakala satu lagi bertahan, barulah kita boleh stabilkan (pulangan),” katanya lagi.

Amir Hamzah turut menjangkakan situasi pelaburan 2023 akan terus mencabar dalam jangka pendek dan sederhana.

Katanya, ketidakpastian yang berterusan ini sekali gus memberi penekanan kepada keperluan untuk membina daya tahan selaras dengan objektif pelaburan jangka panjang KWSP dan Alokasi Aset Strategik.

Tambah beliau, Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini menekankan usaha untuk mengukuhkan pemulihan dan daya tahan ekonomi negara.

Mengenai perkembangan lain, Amir Hamzah berkata, KWSP akan mengumumkan kenaikan had caruman sukarela kepada RM100,000 pada April tahun ini.

“Dalam Bajet 2023 sebelum ini ada diumumkan oleh bekas menteri kewangan berhubung kenaikan had caruman sukarela daripada RM60,000 kepada RM100,000, tetapi malangnya ketika itu bajet belum diwartakan lagi, jadi kita tidak dapat melancarkannya.

“Tetapi kita mendapat sokongan daripada lembaga pengarah bahawa RM100,000 adalah jumlah yang sewajarnya dan kami kini sedang berusaha untuk membenarkan kenaikan had itu,” tambahnya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast