Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen Simpanan Konvesional sebanyak 5.35 peratus bagi tahun kewangan 2022 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM45.44 bilion.

Kadar dividen Simpanan Shariah untuk tempoh yang sama ialah 4.75 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM5.70 bilion, menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan untuk tahun 2022 berjumlah RM51.14 bilion.

Kadar tersebut merupakan yang terendah sejak 2020 bagi Simpanan Konvensional (5.20 peratus) dan Simpanan Syariah, sejak diperkenalkan pada 2017.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, portfolio pelaburan KWSP kekal berdaya tahan dalam mendepani cabaran kemelesetan dengan impak yang minimum.

Katanya, sebahagian besar pelaburan dipacu oleh strategi yang menekankan kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP.

Jelas beliau, setakat 31 Disember 2022 KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar lebih rendah sebanyak RM55.33 bilio, berbanding RM68.89 bilion pada 2021.

Menurutnya, ia didorong ketidaktentuan pasaran dan penilaian pasaran ekuiti dan pendapatan tetap yang lebih lembab.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 8.39 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 16.7 juta tenaga buruh Malaysia pada akhir 2022,” katanya pada taklimat prestasi kewangan KWSP.

Sementara itu, daripada segi pendaftaran ahli pada tahun lalu, Amir Hamzah memberitahu, kumpulan itu mencatat pertumbuhan pendaftaran ahli baharu sebanyak 635,989, menjadikan jumlah ahli KWSP meningkat kepada 15.72 juta orang pada Disember 2022. – MalaysiaGazette