KUALA LUMPUR – Lebih 300 individu tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pembelian saham dengan nilai kerugian keseluruhan lebih RM100 juta sejak 2021.

Salah seorang mangsa, Osman Asri, 57, berkata hasratnya untuk menunaikan ibadah haji lebur selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan itu.

Osman Asri

Katanya, beliau pada awalnya yakin dengan pelaburan itu ketika diperkenalkan di masjid oleh rakannya.

“Saya menyertai pelaburan ini melalui ejen yang juga kenalan ketika berborak di dalam masjid. Menurut ejen itu, pelaburan ini mematuhi syariah.

“Ketika itu, saya memasang niat untuk menunaikan ibadah haji dan menyertai pelaburan terbabit dengan nilai pelaburan RM20,000 pada Mac 2021 bagi tujuan itu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Dek yakin terhadap pelaburan itu, beliau menggunakan simpanan terakhirnya dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan pada usia 55 tahun.

Menurut Osman, seperti yang dijanjikan syarikat itu, dia menerima dividen RM500 yang dijanjikan setiap bulan dalam tempoh setahun, namun, tidak menerima semula modal pelaburan berjumlah RM20,000.

“Pelbagai alasan diberikan syarikat terbabit untuk menunda pemberian semula modal itu sehingga sekarang.

“Menyedari ditipu, saya rasa amat sedih kerana bukan saja niat untuk menunaikan haji lebur tetapi wang simpanan untuk menampung pembelajaran tiga anak di universiti juga hilang,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, dia kini terpaksa bekerja sebagai pemandu e-hailing demi kelansungan hidup keluarga dan pembiayaan persekolahan anaknya.

Khairul Nidzom Datuk Hormat

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Khairul Nidzom Datuk Hormat, 40, turut berputih mata selepas pelaburannya sebanyak kira-kira RM100,000 tidak mendapat pulangan seperti yang dijanjikan.

Katanya, ketika dikenalkan dengan skim pelaburan di syarikat itu, figura korporat ditayangkan cukup meyakinkan.

Menceritakan kejadian, beliau yang merupakan seorang peniaga ketika waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan risau terhadap iklim ekonomi akan datang bertekad untuk melabur.

“Pada lima bulan pertama saya terima dividen, tetap selepas itu ia (dividen) terhenti tanpa sebab yang nyata.

“Kami dilayan tidak seperti mana ketika pada mula ingin melabur. Jumlah RM100,000 mungkin kecil pada mata syarikat itu, tetapi kepada saya jumlah itu sangat besar.

“Mereka menayangkan figura-figura korporat didalam syarikat itu membuatkan kami yakin. Tapi sejak April tahun lalu, tidak ada langsung penjelasan nyata dan jelas ataupun sebarang tindak tanduk yang menyatakan mereka akan buat pemulangan duit kepada kami,” katanya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

“Mangsa memaklumkan bahawa mereka telah ditawarkan untuk membeli saham melalui Islamic Redeemable Shares (RPS-i) sebuah syarikat berhad.

“Syarikat berhad tersebut juga memaklumkan bahawa mereka telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia melalui Information Memorandum bahawa jumlah minimum RPS-i yang dijual adalah sebanyak 250,000 unit dengan nilai RM1 bagi 1 unit,” katanya.

Katanya, jumlah pembelian saham RPS-i tersebut adalah sebanyak 250,000 unit saham dan bagi pembelian kurang daripada 250,000 unit, pembelian hendaklah dibuat melalui sebuah syarikat pengumpul dana pelaburan yang telah dilantik oleh syarikat tersebut.

Menurutnya, kesemua mangsa menyatakan bahawa mereka tertarik dengan tawaran apabila dijanjikan dengan pulangan dividen sehingga 18 peratus setahun atau 1.8 peratus setiap bulan.

Namun begitu, katanya, tidak ada apa-apa bayaran yang diterima oleh mangsa semenjak Mei 2022 sehingga ke hari ini.

Sehubungan itu, MHO mendesak kerajaan mewujudkan Akta Anti Scam susulan undang-undang sedia ada dilihat tidak berkesan bagi membanteras jenayah penipuan.

Hishamuddin berkata, satu undang-undang pencegahan khas perlu dilaksanakan berikutan jenayah penipuan yang semakin bermaharajalela.

“Kita lihat Seksyen 415 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang digunakan bagi jenayah penipuan tidak berkesan, malah ‘scammer’ kini seakan tidak takut dan berani untuk menipu mangsa demi mengaut lebih banyak duit.

“Kita sudah ada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 bagi membanteras penyeludupan manusia jadi satu undang-undang yang lebih tegas perlu diwujudkan bagi menangani jenayah penipuan pula,” katanya.

Hishammuddin berkata, pihaknya khuatir kebanyakan kes penipuan yang dilaporkan hanya akan disiasat di bawah kes sivil dan tiada tindakan lanjut (NFA).

“Jika kes dilaporkan disiasat di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), penipu hanya akan dikenakan denda namun terlepas menipu lebih ramai mangsa.

“Masalah utama kita kini adalah mangsa penipuan kerana scammer kini menggunakan kelompongan undang-undang tertentu untuk melakukan jenayah penipuan,” katanya. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kesian dgn modal RM100K hilang dan hangus begitu saja. Amat benarlah perpatah ada mengatakan ORANG TAMAK SELALU RUGI..MACAM ANJING DGN BAYANG BAYANG.

Comments are closed.