PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau tidak lagi terlibat dengan keputusan parti yang dipimpin anaknya itu, Datuk Seri Mukhriz.
Beliau yang baru dilantik sebagai Penasihat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berkata, Pejuang bebas menyertai mana-mana gabungan parti kerana Malaysia adalah negara demokrasi.
“Kita bebas dan negara kita demokrasi, hendak buat apa-apa pun buatlah. Sama ada disambut atau tidak itu soal lain.
“Saya tidak terlibat dengan Mukhriz sekarang ini sebab beliau Pejuang dan saya sudah keluar Pejuang,” katanya pada sidang media selepas Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang Bersama Tun M di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.
Turut hadir dua bekas menteri Kabinet, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Zuraida Kamarudin.
Beliau diminta mengulas tindakan Pejuang yang memohon untuk menyertai parti komponen Perikatan Nasional (PN) selepas Mukhriz mengesahkan pihaknya sudah mengutuskan surat kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya diterima sebagai anggota komponen.
Katanya, surat yang sama turut diserahkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.
Mukhriz berkata, pertimbangan dibuat selepas pihaknya mendapati tidak memadai kerjasama pakatan pilihan raya diwujudkan hanya untuk mengelakkan pertindihan kerusi yang ditandingi terutamanya ketika perlu menggunakan lambang berasingan oleh kedua-dua pihak.
Pada 10 Februari lalu, Dr. Mahathir mengumumkan beliau keluar parti itu bersama 12 lagi ahli lain hari ini.
Menerusi satu notis kepada Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah, keputusan itu dibuat berikutan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA). – MalaysiaGazette