Chendering
Mohamad Sabu (berbaju putih) melawat Pelabuhan Perikanan LKIM Chendering, Terengganu, hari ini. (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan peruntukan kira-kira RM192 juta bagi membaik pulih Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Chendering, Terengganu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek tersebut akan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan.

“Saya dimaklumkan kerja-kerja mengorek pasir untuk mendalamkan pelabuhan dan membaiki bumbung akan dimulakan pada April tahun ini.

“Insya-Allah saya akan datang semula ke sini nanti untuk melihat sendiri kemajuan projek membaik pulih pelabuhan ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau turut menyatakan perasaan sedih melihat keadaan pelabuhan berkenaan yang dahulunya terkenal sebagai pusat pendaratan ikan terbesar di Terengganu.

Mohamad berkata, banyak bumbung yang tercabut manakala bot nelayan tidak dapat masuk ke pelabuhan kerana air semakin cetek.

“Keadaan ini menyebabkan bilangan bot yang beroperasi di pelabuhan ini terus mencatatkan penurunan iaitu dari 203 buah bot (2016) kepada 51 buah bot (2021),” jelasnya. – MalaysiaGazette