KUALA LUMPUR – Polis mengesan pemandu trak tunda yang menjadi punca kemalangan di antara penunggang motosikal dan sebuah kereta di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, berdasarkan video yang tular, trak tunda berkenaan mengubah haluan secara tiba-tiba mengakibatkan motosikal di belakangnya terpaksa melanggar kereta di lorong kiri.

Menurut beliau, selepas kejadian penunggang motosikal dan pemandu kereta telah membuat laporan polis.

“Video berdurasi 17 saat dimuat naik oleh pemilik instagram @Tvsukanstar. Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Petaling Jaya telah menerima laporan daripada penunggang motosikal dan pemandu kereta yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru saksi kejadian tampil membuat laporan polis berhampiran atau berhubung dnegan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Ainurur Ferdaus Mahussin di talian 017-6345114. – MalaysiaGazette