Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin

KUALA LUMPUR – Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket membangun, menyelenggara laman sesawang dan perisian perjudian dalam talian menerusi serbuan yang dilakukan di sekitar ibu negara pada penghujung bulan lepas.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kejayaan menumpaskan sindiket terbabit adalah menerusi maklumat risikan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayaah Komersial (JSJK).

Katanya, seramai 39 individu berusia lingkungan 23 hingga 49 tahun yang terdiri daripada 22 lelaki dan 10 wanita warga tempatan termasuk lima lelaki dan dua wanita warga asing turut ditahan.

“Berdasarkan maklumat risikan, sindiket tersebut di dapati beroperasi di sebalik dua syarikat berasaskan teknologi maklumat dan pengaturcaraan komputer bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Selain itu, syarikat tersebut turut menawarkan perkhidmatan membangunkan laman sesawang yang mengumpulkan pelbaghai jenis permainan judi secara dalam talian dan perisian atas permintaan pelanggan-pelanggan dari dalam dan luar Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis merampas 30 unit komputer riba, sembilan unit komputer, 47 unit telefon bimbit, masing-masing tiga buah router modem serta sekeping pasport.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 4 (1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Tegasnya, PDRM sentiasa komited dalam menjalankan tindakan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan judi dalam talian dan orang ramai perlu memainkan peranan menyekat aktiviti berkenaan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui. – MalaysiaGazette