Foto: Twitter

JAKARTA – Sekurang-kurangnya 17 orang maut manakala 50 lagi cedera selepas kebakaran besar berlaku di depoh bahan api di Plumpang, Jakarta Utara malam tadi.

Kebakaran berlaku di depoh bahan api syarikat minyak milik kerajaan, Pertamina kira-kira  8.20 malam yang menyebabkan beberapa siri letupan kedengaran sehingga kira-kira satu kilometer.

Penduduk di kawasan kejiranan Koja terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas kebakaran merebak, kata Ketua Polis Jakarta Utara, Gidion Arif Setyawanan.

Mangsa yang mengalami kecederaan teruk akibat melecur telah dibawa ke beberapa hospital berdekatan.

Kira-kira 250 anggota bomba, 51 jentera dan puluhan ambulans dihantar ke lokasi kejadian, kata ketua jabatan bomba bandar itu, Satriadi Gunawan.

Pihak berkuasa juga mengerahkan anggota polis dan tentera untuk membatu usaha memadam kebakaran dan memindahkan penduduk. Kebakaran dapat dipadamkan sekitar 10.30 malam.

Jurucakap Pertamina Eko Kristiawan berkata, kejadian itu tidak menjejaskan bekalan kerana kebakaran berlaku di kawasan luar laluan saluran paip bahan api.

Pertamina Plumpang mempunyai kapasiti 300,000 kiloliter dan membekalkan 25 peratus keperluan bahan api Indonesia, khususnya untuk kawasan Jabodetabek. Pada 2009 depoh itu pernah mengalami kebakaran yang meyebabkan seorang terbunuh. – Bernama