KUALA LUMPUR – Menu Rahmah tidak wajar dipersendakan kerana ia merupakan inisiatif demi membantu golongan B40.
Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, bukan hanya kerajaan malah pengusaha yang menyediakan menu berkenaan juga termasuk dalam golongan memperjuangkan golongan yang kurang berkemampuan kerana sanggup mengenepikan keuntungan.
“Kepada ara pengusaha makanan yang mampu menyediakan Menu Rahmah dengan meraih untung yang kecil sahaja kita doakan rezeki mereka sentiasa diberkati dan dilipat gandakan oleh Allah.
“Mereka telah menyahut seruan Allah untuk memberi pinjaman “Qard Hasan” kepada Allah menerusi kebaktian kepada manusia yang dijanjikan oleh Allah keuntungan berlipat kali ganda di dunia dan diakhirat.
“Pengusaha-pengusaha MENU RAHMAH ini termasuk dalam kategori golongan “al-Abrar” iaitu “orang-orang berkebajikan”. Mereka yang mempersendakan Menu Rahmah dibimbangi tergolong dikalangan mereka yang dimurkai oleh Allah,” katanya menerusi kenyataan.
Ujarnya, menu tersebut sangat membantu untuk golongan yang berpendapatan kecil selepas pasca Covid-19.
Semalam, tular video yang memaparkan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat yang sedang menikmati makan tengahari dilihat cuba memperlekeh Menu Rahmah.
Namun beliau, menafikan dakwaan mempersendakan menu berkenaan sebaliknya berkata makanan yang dijamahnya dalam video yang tular hari ini bukanlah menu berkenaan sebagaimana yang didakwa .- MalaysiaGazette