Gambar hiasan

Baru-baru ini lima badan media tempatan telah melaksanakan suatu survei bagi meneliti pandangan rakyat terhadap 100 hari pentadbiran kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh DS Anwar Ibrahim.

Pertama sekali ini adalah suatu usaha yang amat baik oleh pihak media dalam meneliti dan seterusnya melaporkan bagaimana rakyat menilai perjalanan tugas dan pelaksanaan dasar-dasar oleh kerajaan yang baru terbentuk selepas PRU15 pada November lalu.

Hasrat gabungan media yang merangkumi audien dalam pelbagai bahasa dalam melancarkan survei itu dapat memberi nilai tambah yang positif kepada proses pemberitaan serta memberi konteks terdapat pandangan, sikap dan tahap pengetahuan masyarakat terhadap isu semasa dan tanggapan mereka pada pentadbiran negara.

Ia turut menyampaikan maklumat tambahan dalam bentuk kuantitatif (boleh diukur) bagi melengkapkan dan memberi asas kepada berita atau apa-apa laporan yang dilakukan oleh media.

Namun, data yang membentuk laporan serta pemberitaan tersebut perlulah dihasilkan dengan cara yang betul dan digunakan dengan bertanggungjawab.

Pada masa kini terdapat pelbagai ‘survei’ dilakukan bagi mengutarakan isu atau keperluan, biasanya ‘survei’ seperti ini dilakukan secara atas talian, platform media sosial atau di pusat-pusat membeli belah.

Perkara utama yang membezakan samada sesuatu survei itu bersifat ‘saintifik’ atau tidak ialah bagaimana pihak pengkaji memilih siapa yang akan menjawab soal selidik di dalam survei tersebut.

Di dalam survei yang ‘tidak saintifik’, individu yang menjawab soal selidik tanpa dipilih, di mana respons mereka diterima tanpa disaring bagi menepati ciri-ciri taburan penduduk yang ingin dikaji.

Terdapat beberapa ciri yang menjadi asas survei yang bersifat saintifik, tiga perkara utama adalah bagaimana responden dipilih, dari mana responden itu berada, dan siapakah yang menjawab survei.

Pemilihan Responden

Setiap survei perlu mengimbangi keperluan mendapatkan sejumlah respons yang dapat memberikan ketepatan yang tinggi, ketepatan pula bergantung kepada jumlah responden yand dipilih dengan cara yang dapat mewakili pengundi di negara ini, serta melakukannya pada kos yang berpatutan.

Di dalam survei saintifik, responden dipilih menerusi kaedah statistik untuk memilih individu yang akan menjawab soalan. Pemilihan responden perlulah bersifat rawak, di mana peluang untuk setiap individu dipilih adalah sama.

Ini bermaksud, setiap responden itu handaklah mewakili kelompok atau segmen yang wujud di negara iaitu bertepatan dengan taburan jantina, umur, tempat tinggal (sama ada bandar ataupun desa) serta tahap pendapatan isirumah serta sektor pekerjaan.

Sekiranya hanya individu yang melayari laman web tertentu sahaja berpeluang untuk menjawab soalan, ini akan membawa bias ke dalam hasil kajian kerana mereka yang tidak menjadi pengguna laman web tersebut tidak berpeluang untuk menjawab soal selidik tersebut.

Tahap sejauh manakah sampel responden itu mewakili penduduk itulah sebenarnya yang mempengaruhi ketepatan sesuatu survei. Sekiranya dipilih dengan betul, survei yang mempunyai hanya 1,200 orang responden boleh mewakili 21 juta pengundi di Malaysia ini.

Komposisi dan Lokasi Responden

Sekiranya responden terdiri daripada pelanggan sesuatu produk ataupun portal media menjawab soalan, ini bermaksud dapatan survei itu mewakili kumpulan pelanggan produk atau portal tersebut – ia tidak boleh ditakrifkan sebagai mewakili keseluruhan rakyat sesebuah negara.

Perkara yang turut perlu dilihat dari lokasi manakah responden itu berada, adakah mereka tinggal di bandar ataupun desa? Ini kerana terdapat perbezaan dari segi bagaimana isu dan keperluan masyarakat di sesuatu tempat yang akan mempengaruhi pandangan mereka terhadap pentadbiran negara.

Kaedah Menemubual Responden

Buat masa ini, terdapat tiga keadah utama bagaimana seseorang responden itu ditemubual: secara bersemuka, menerusi panggilan telefon atau secara atas talian.

Kesemua kaedah mempunyai kekuatan masing-masing sekiranya dilakukan secara saintifik – iaitu sampel yang dipilih secara rawak dan mewakili kelompok penduduk.

Survei yang berasaskan individu yang menjawab soalan tanpa dipilih menerusi kaedah atas talian lazimnya tidak saintifik dan keputusannya tidaklah dapat mewakili penduduk sesuatu negara.

Akhir kata, amalan melakukan survei ini bukanlah suatu perkara yang mudah.

Sejak kebelakangan ini, survei-survei yang lazim dilaksanakan di negara-negara maju oleh badan bebas pun kadangkala tersasar dan tidak dapat menjangka perkara seperti keputusan pilihan raya. Hal ini biasanya berkisar kepada ketepatan dalam mendapatkan responden yang mewakili kesemua kelompok.

Di Malaysia pula, kita menghadapi satu lagi cabaran di mana ramai rakyat tidak mahu berkongsi parti mana yang akan mereka pilih kerana lambat membuat keputusan ataupun ragu dengan pengkaji.

Dengan itu, adalah penting bagi pengamal survei untuk melaksanakan kajiselidik yang menepati piawaian saintifik agar keputusan yang diperolehi itu mencerminkan situasi sebenar.

Perkara ini bukan sahaja akan menyuburkan budaya sumbang saran di dalam konteks demokrasi di Malaysia malah itu turut akan membantu meningkatkan kepercayaan rakyat kepada industri survei di negara ini.

 

Ibrahim Suffian adalah Pengarah Program, Merdeka Center