Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim mengemudi Air Boat dalam misi operasi banjir di Johor. foto The Royal Johor

JOHOR BAHRU – Tiga Air Boat berkuasa tinggi milik Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut digerakkan bagi membantu operasi banjir dengan menghantar bekalan makanan kepada mangsa-mangsa bencana alam itu.

Pada hari ini, Air Boat berkenaan yang dikemudi oleh Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim memulakan perjalanan dari Jeti Gersik, Muar menuju ke lokasi pertama iaitu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gombang yang menempatkan 47 keluarga.

Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim meredah banjir ketika melawat mangsa-mangsa banjir.

Kemudian, Tunku Abu Bakar mengemudi Air Boat ke Jeti Galeri Darurat Bukit Kepong,  lokasi kedua sebelum meredah banjir untuk menyampaikan bantuan makanan di PPS SK Bukit Kepong yang menempatkan 42 keluarga.

Walaupun dalam hujan, Tunku Abu Bakar turut meluangkan masa meninjau keadaan banjir di sepanjang perjalanan.

Semalam, Air Boat Sultan Johor, terlibat dalam penghantaraan makanan ke perkampungan Orang Asli di Kahang selepas penempatan itu dinaiki air.- MalaysiaGazette