KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ayer Hitam terkilan dan kecewa dengan kualiti makanan yang dibekalkan kepada mangsa-mangsa banjir.
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendakwa, selain makanan yang tidak sempurna, malah pembekal menghantar makanan lewat.
“Ada yang mengadu nasi juga mentah. Serius saya terkilan dan cukup sedih dengan apa yang berlaku,” katanya semasa melawat 105 keluarga yang terdiri daripada 375 orang yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Taman Kota Yong Peng.
Dakwanya, mangsa-mangsa banjir hanya menerima sarapan pagi pada jam 11 pagi dan makan tengah hari 2 petang.
Dalam rakaman video yang dikongsikan di Facebook beliau, Ka Siong menunjukkan mee goreng yang dibekalkan cukup menyedihkan.
Manakala menu tengah hari pula didakwa diberikan dalam kuantiti yang sedikit.
“Saya nampak bekalan makanan yang diberikan kepada mangsa-mangsa banjir tidak dibuat dengan baik.
“Saya juga telah menghubungi menteri yang berkaitan dan memohon tangani isu ini dengan segera. Kasihanilah mangsa banjir yang sedang berdepan waktu sukar ketika ini.
“Saya juga mengatakan bahawa jika kontraktor penyedia makanan tidak mampu memikul amanah ini, lebih baik diberikan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat,” katanya.
Ka Siong berkata, biarlah mereka bergotong royong memasak dengan menggunakan barangan keperluan yang telah pun disediakan oleh beliau untuk kegunaan penduduk.
“Lebih baik kita rewang, masak sendiri, lebih enak, lebih berkhasiat,” ujarnya sambil mendakwa makanan yang dibekalkan itu ada yang tidak dijamah langsung.
Beliau yang juga Presiden MCA berkata, di kawasannya sahaja ada 22 pusat penempatan sementara dengan 5,000 orang mangsa banjir.
“Tolonglah jaga kebajikan mangsa banjir. Mereka ini duduk sini dalam keadaan terpaksa, mereka bukan hendak banjir,” ujarnya. – MalaysiaGazette
KA SIONG jangan MARAH…..FUAD JAKARSHI….pewira UMNOGOK BATU PAHAT ada…
ini contoh MENU RAHMAH MADANI…..ZAHID pun ada apalagi sebagai jkuasa BENCANA