Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang pelakon yang disyaki menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh semalam bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 29 tahun itu telah ditahan jam lebih kurang 12 tengah hari ketika hadir untuk memberi keterangan di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Ya, pelakon itu kita tahan tengah hari semalam dan kemudian dia telah dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai dirakam keterangan daripadanya pada petang hari yang sama,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Tambah Hussein, setakat ini polis sudah mengambil keterangan daripada mangsa yang dua saksi kejadian dan juga suspek.

Katanya, polis berkemungkinan akan memanggil semula mangsa untuk diambil keterangan lebih lanjut pada hari ini (Ahad).

“Polis juga telah mendapatkan laporan awal perubatan mangsa  yang mengesahkan  mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipinya akibat diserang suspek.

“Kita juga akan mendapatkan perintah mahkamah sementara pada esok (Isnin), yang bertujuan untuk menghalang suaminya (suspek) daripada melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sementara polis meneruskan siasatan kes ini,” ujarnya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pada Jumaat lalu, media tempatan melaporkan isteri kepada seorang pelakon lelaki telah membuat laporan polis atas dakwaan dia telah ditumbuk oleh suaminya beberapa kali sehingga mengalami kecederaan di bahagian mata.

Mangsa mendakwa perbuatan itu dilakukan suaminya pada awal pagi Khamis yang lalu.

Mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Jinjang, Kepong pada jam 6.30 pagi, 2 Mac lalu. – MalaysiaGazette