JAKARTA – Pasukan Penyelamat dan anggota bomba Indonesia masih mencari tiga individu yang masih hilang di bawah runtuhan rumah dan bangunan yang hangus, selepas depoh simpanan minyak di ibu negara mengorbankan sekurang -kurangnya 19 orang.
Stesen Penyimpanan Bahan Api Plumpang itu dikendalikan oleh syarikat minyak dan gas Pertamina, terletak berhampiran kawasan padat penduduk di Tanah Merah di utara Jakarta.
Ia membekalkan 25 peratus keperluan bahan api Indonesia.
Sekurang -kurangnya 260 anggota bomba dan 52 jentera dikerah untuk memadamkan kebakaran selepas api merebak selama lebih dari dua jam pada lewat malam Jumaat lalu.
Rakaman di media sosial menunjukkan beratus -ratus orang berlari dalam keadaan panik dengan asap hitam melitupi langit.
Ketua Polis Negara Listyo Sigit Prabowo berkata, siasatan awal menunjukkan kebakaran itu disebabkan oleh masalah teknikal yang melibatkan tekanan berlebihan ketika depot menerima bahan bakar dari penapisan Balongan Pertamina di wilayah Jawa Barat.
“Insiden ini berlaku semasa pengisian bahan bakar pertamax,” kata Listyo kepada sidang akhbar petang semalam.
Katanya, polis masih menyiasat untuk mencari punca kebakaran.
Sebelum kebakaran berlaku, penduduk terbau petrol yang kuat, menyebabkan ada yang muntah, sebelum terdengar letupan kuat.
Penduduk mendakwa kebakaran tercetus dengan cepat.
Media tempatan melaporkan, lebih daripada 1,300 orang telah dipindahkan dan berlindung di 10 pejabat kerajaan dan stadium. – Agensi