Ahmad Zahid Hamidi.

ALOR SETAR – UMNO akan menerbitkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang meluluskan usul tambahan parti itu agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding pada pemilihan tahun ini.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan meminta Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan berbuat demikian untuk makluman kepada semua ahli.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, penerbitan surat tersebut diharap dapat menamatkan polemik berkaitan usul yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada Januari lepas.

“Itu satu tanda noktah bahawa Perhimpunan Agung UMNO adalah badan tertinggi UMNO dan peraturan-peraturan telah diikuti, Perlembagaan juga dipatuhi maka noktah ini adalah penamat dan kita tutup buku untuk mempolemikkan apa-apa isu mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 peringkat Kedah dan Perlis yang turut dihadiri Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Mohamad Hasan.

Semalam, beliau memaklumkan UMNO telah menerima surat daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai keputusan RoS pada Jumaat.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor meminta Ahmad Zahid menunjukkan surat daripada RoS berikutan polemik status usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022.

Terdahulu, ketika berucap, Ahmad Zahid meminta kepimpinan UMNO agar tidak cuba menjatuhkan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan parti itu terus relevan dan kuat supaya diterima semula oleh masyarakat terutama menjelang Pilihan Raya Negeri di enam negeri.

“Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan MADANI perlu dipertahan manakala semua yang akan memimpin UMNO di peringkat Majlis Tertinggi Wanita, Pemuda dan Puteri perlu berada dalam satu pasukan bagi memastikan kita tidak tergugat.

“Kita tidak mahu ada elemen luar masuk kerana terdapat beberapa perancangan yang ingin menggugat dan menjatuhkan kepimpinan serta kerajaan sedia ada,” katanya.

Beliau turut mengingatkan perwakilan yang mengundi pada pemilihan parti agar memilih calon yang boleh memperkukuh UMNO dan tidak mempunyai agenda untuk mewujudkan kabilah berlainan dalam parti.

“Kita meraikan kepelbagaian pendapat tetapi parti tidak lagi mampu mempunyai kabilah-kabilah yang berbeza atas tujuan yang berbeza,” katanya. – BERNAMA

Ismail Sabri minta Zahid tunjuk bukti daripada RoS

2 Komen

Comments are closed.