Fadhlina Sidek melihat seorang kanak-kanak melukis ketika melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Seri Bali dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chaah, Johor. foto: AFFAN FAUZI, 06 MAC 2023.

SEGAMAT – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bercadang menangguhkan Sesi Persekolah 2023/24 di semua 17 buah sekolah di Johor yang terjejas akibat banjir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebaliknya berkata, pelajar di sekolah berkenaan akan diberi pilihan belajar melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya kerosakan sekolah tidak dapat dipulihkan sebelum cuti sekolah berakhir dua minggu lagi.

“Saya fikir kita sedaya upaya fokus untuk memulihkan sekolah yang terjejas dahulu kerana pada masa sama kita tidak akan menangguhkan sesi persekolahan yang bakal bermula dua minggu lagi.

“Kita akan bagi pilihan PdPR supaya proses persekolahan tetap berlangsung sekiranya 17 sekolah terjejas termasuk 14 buah sekolah di daerah Segamat tidak dapat dibersihkan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Seri Bali dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chaah, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, jika PdPR terpaksa dilaksanakan di PPS, KPM akan memastikan pusat itu mempunyai kelengkapan yang sesuai untuk sesi persekolahan itu.

“Kita akan lihat dari semasa ke semasa, tapi biasanya jika ada ruang yang sesuai (di PPS) mereka boleh terus belajar melalui kaedah itu di PPS.

“Untuk pelajar yang pakaian seragam sekolah mereka rosak akibat banjir, mereka boleh hadir ke sekolah dengan apa sahaja pakaian yang bersesuaian asalkan memulakan persekolahan,” katanya. – MalaysiaGazette.