Siti Aminah Aching. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram.

Timbalan Menteri Perladangan Dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, ia melibatkan peruntukan berjumlah RM350 juta.

“Berhubung cadangan untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap (cuplump) kepada RM4.50 sekilogram, ingin saya nyatakan di sini, bahawa Kementerian akan melaksanakan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah RM2.70 sekilogram seperti mana yang diumumkan di dalam Bajet 2023.

“Dalam masa yang sama, Kementerian Perladangan dan Komoditi akan memperhalusi cadangan tersebut bersama kementerian dan agensi terlibat tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa Kerajaan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (Pas-Parit) yang ingin kementerian berkenaan menyatakan adakah kerajaan bercadang menaikkan kadar Insentf Pengerluaran IPG dari RM2.50 ke RM4.50 pada waktu ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2023 yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan IPG daripada RM2.50 sen kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta.

Beliau turut menggesa Lembaga Getah Malaysia memudah cara kaedah tuntutan terutamanya membabitkan pekebun kecil yang terpaksa keluar berpuluh kilometer hanya untuk mendapatkan insentif berkenaan. – MalaysiaGazette