PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji struktur pengurusan banjir dalam kalangan agensi penjawat awam di Johor yang disifatkan mempunyai koordinasi baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri itu.
Beliau berkata, ini kerana jentera penjawat awam di sana telah bertindak pantas dan cekap tanpa perlu menunggu arahannya sebaliknya persiapan sudah bermula sejak awal lagi bagi berdepan bencana banjir.
Menurut Anwar, beliau bangga kerana penjawat awam mempunyai kepantasan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cepat dan ikhlas.
“Banjir di Johor, saya perhatikan jentera kita antara Persekutuan dan negeri itu, kepantasannya lebih baik. Terima kasih TPM, Datuk Seri Ahmad Zahid yang turun dan Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) dengan laporan harian. Menteri-menteri pun turun.
“Saya sempat dengan Pegawai Daerah, Menteri Besar Johor dan Ketua Polis Johor dan lain-lain, syukurlah. Mereka sudah tahu dan tidak perlu tunggu arahan banjir. Kepantasan dalam pembinaan jambatan gantung, bila saya teks itu dan mereka kata dalam proses serta dalam dua hari sudah siap.
“Ini ada kesedaran di semua peringkat khususnya penjawat awam melaksanakan tugas dengan ikhlas dan pantas kerana yang mengalami masalah tidak sama dengan kita, dia mampu menunggu berhari-hari. Makan minum pun dalam tempoh umpamanya atau selewat-lewatnya 24 jam sampai makanan melainkan tempat terputus yang ambil masa satu hari.
“Saya bersyukur dan bangga serta ambil kesempatan bukan sahaja hadir di sini ucap terima kasih kepada penjawat awam di Johor, Pahang, Kelantan yang bertindak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, di sini, hari ini.
Semalam ketika melawat mangsa banjir di Segamat, Johor, Anwar menjelaskan kerajaan tidak akan mengisytiharkan darurat susulan situasi bencana banjir buruk yang dihadapi negeri ketika ini, berikutan keadaannya masih terkawal.
Perdana Menteri berkata, pengisytiharan darurat kerana banjir tidak perlu dilakukan berikutan hujan dijangka berkurangan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Beliau diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau keadaan penduduk terjejas banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh. – MalaysiaGazette