Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ronald Kiandee mempelawa ahli-ahli Parlimen dari parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menyertai blok pembangkang sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen (PN-Beluran) itu berkata, beliau melihat seolah-olah terdapat “keberhentaman” di dalam blok kerajaan hingga memperlihatkan beberapa ahli-ahli Parlimen dari parti Sarawak melahirkan rasa tidak puas hati pada sesi perbahasan mengenai Belanjawan 2023.

“Saya lihat ahli-ahli Parlimen Sarawak termasuk Selangau yang terakhir tadi terhadap reaksi ucapan Stampin, Serian, Betong, Sri Aman, berucap tentang tidak puas hati.

“Jadi, nampak sangat ada sedikit keberhentaman di antara ahli-ahli Parlimen GPS dengan blok kerajaan.

“Baru 100 hari Yang Dipertua…rupanya sudah ada bibit-bibit keberhentaman antara satu dengan yang lain…tak tahulah dikatakan bahawa unity government (Kerajaan Peraduan)…rupanya ada bibit.

“…rupanya tak semua bunga ros dekat sana, ada bunga taik ayam juga…ros (bunga) setiap hari ada keberhentaman,” katanya sebelum memulakan perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru, beliau yang juga Ketua Pimpinan Bersatu Sabah mengajak ahli Parlimen Sarawak untuk bersama dengan barisan pembangkang yang mana mereka juga boleh mengutarakan isu-isu yang hendak dibawakan di kawasan masing-masing.

“Saya cuma nak ingatkan kepada ahli-ahli Parlimen dekat sana, banyak kerusi dekat sini boleh join.

“Kami di sini boleh duduk satu bantal dan mimpi yang sama…di sini tiada rasa sakit jantung, tidak perlukan bersindir-sindir antara satu dengan yang lain…itu beza yang di sini,” ujarnya. –

Mendengar ajakan itu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, apa yang dikatakan oleh Ronald itu bukan batu ronson.

“Bukan baru ronson yer,” kata Johari.

“Bukan…jadi bererti kerajaan marriage of convenience ini dia boleh mengundang pebagai konflik yang boleh menyebabkan ahli-ahli Parlimen sebelah sana sakit hati dan sakit jantung,” jawab Ronald. – MalaysiaGazette