PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucap tahniah kepada Tan Sri Idrus Harun yang dilantik semula sebagai Peguam Negara bermula hari ini selama enam bulan lagi.
Perdana Menteri juga merakamkan perhargaan yang sama kepada Datuk Dr. Zulkapli Mohamed yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) baharu.
Turut mendapat ucapan sama, Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Kementerian Kewangan baharu.
“Saya ambil kesempatan ini ucap tahniah kepada Peguam Negara yang diminta terus tugas beliau, Datuk Zul KPPA yang baharu dan Johan di KSP.
“Kita doakan kepada Allah SWT, mudah-mudahan mereka dapat bantu mantap tugas kita dengan sempurna dan tanggungjawab angkat martabat penjawat awam lebih baik dari sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, di sini, hari ini.
Pada 3 Mac lalu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan Idrus dilantik semula sebagai Peguam Negara untuk tempoh enam bulan.
Zuki berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan semula itu mengikut Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Idrus sebelum ini adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai Peguam Negara dengan kontrak dua tahun bermula 6 Mac 2020.
Beliau kemudian dilantik semula ke jawatan berkenaan pada 6 Mac tahun lalu untuk tempoh setahun lagi
Sementara itu, Zulkapli dan Johan turut mendapat perkenan sama berkuatkuasa 27 Februari lalu.
Dr. Zulkapli, 58, telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 31 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan, Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1 Disember 1992.
Beliau mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah yang ditamatkan perkhidmatan pada 12 Disember lalu.
Johan, 50, pula sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan.
Beliau menggantikan Datuk Seri Asri Hamidon yang dilantik pada 2020 sebelum dicutikan pada Disember lalu. – MalaysiaGazette