KUALA LUMPUR – Dengan hanya tinggal seorang wakil pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang maka tidak akan ada semak dan imbang di negeri berkenaan.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, pengosongan empat kerusi ADUN daripada Bersatu dan PKR itu merupakan titik hitam kepada politik Pulau Pinang.
“Ini bagi saya adalah satu titik hitam dalam sejarah Negeri Pulau Pinang yang mana kerajaan DAP dan UMNO menghapuskan sebarang kemungkinan untuk adanya semak dan imbang agar mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk dalam menghadapi PRN,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
DUN Pulau Pinang hari ini telah membahaskan dan meluluskan usul bagi mengisytiharkan pengosongan empat kerusi ADUN.
Empat ADUN terlibat terdiri daripada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) turut diarah keluar meninggalkan sidang DUN tengah hari tadi selepas usul itu diluluskan.
Untuk rekod, ADUN Penaga Mohd Yusni Mat Piah merupakan satu-satunya ADUN pembangkang di negeri itu.
Beliau yang kesal dengan tindakan itu menyifatkan ketakutan kerajaan negeri terhadap PN.
“Bagi saya tindakan meluluskan usul mengosongkan empat kerusi ADUN PN di Pulau Pinang melambangkan ketakutan mereka dan tindakan mereka mahu menggunakan segala saluran perundangan untuk memastikan kebangkitan rakyat dan sokongan kepada PN dapat dilumpuhkan.
“Mereka menggunakan semua kuasa yang ada termasuk kuasa yang ada di DUN. Seharusnya tunggulah PRN yang kita tahu tak berapa bulan lagi.
“Tapi kerakusan mereka ini menyebabkan mereka meneruskan usaha yang hasilnya ialah lulus satu usul memaksa empat ADUN PN mengosongkan kerusi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette