CAMERON HIGHLANDS – Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Cameron Highlands hari ini.

Baginda menyaksikan pemeteraian MoU antara Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDT CH) dan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM) dan Aerodyne Group sempena lawatan khas baginda ke Daerah Cameron Highlands.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim.

MoU bersama MYSA merupakan inisiatif pemerkasaan pemantauan guna tanah di Cameron Highlands melalui teknologi satelit (satellite surveillance) serta perkongsian data yang efisien antara agensi.

Manakala, MoU bersama NAHRIM merupakan kerjasama bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sedimen melalui penggunaan NAHRIM Environmental Dredging System (NEDS).

Menurut kenyataan PKCH, penggunaan sistem NEDS dapat impak positif dalam usaha memelihara sumber air di Cameron Highlands.

“MoU bersama Aerodyne pula merupakan usaha tambah baik kaedah pemantauan terhadap pematuhan dalam pelaksanaan projek di daerah ini.

“Dengan mengoptimumkan teknologi dron, kemajuan serta aspek pematuhan projek pembangunan dan pertanian dapat dikawal selia dengan lebih berkesan.

“Solusi berteknologi tinggi merangkumi ruang angkasa, tanah dan air ini diyakini mampu menambah baik kualiti tadbir urus daerah Cameron Highlands,” katanya.

Menurutnya, inisiatif teknologi tinggi tersebut jauh lebih berkesan dan kos efektif berbanding kaedah konventional.

MoU ditandatangani oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PKCH.

Manakala, MYSA diwakili oleh Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah, NAHRIM diwakili Timbalan Ketua Pengarah, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia, Ir.Mohd Zaki Mat Amin dan Aerodyne diwakili oleh Ketua Pegawai Strategi Aerodyne Group, Amir Zakwan Anuar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast