Datuk Hasry Sham Chasmen. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Datuk Hasry Sham Chasmen membuat laporan polis tengah malam tadi berikutan dakwaan beliau menggunakan gelaran Datuk palsu.

Beliau berkata, perkara itu timbul selepas seorang pemimpin UMNO Bahagian Ampang bergelar Datuk memfitnahnya kerana menggunakan gelaran Datuk palsu yang diperolehi dari sebuah negeri.

“Dakwaan itu tidak berasas (guna gelaran Datuk palsu), dia sengaja timbulkan isu ini, memandangkan semua orang sibuk dengan Pemilihan UMNO 2023.

“Saya ada semua dokumen dan gambar membuktikan saya dianugerahkan gelaran Datuk yang dikurniakan oleh Istana sebuah negeri.

“Tuduhan palsu ini berniat jahat dan saya percaya mempunyai kaitan dengan pemilihan parti yang sedang berjalan ketika ini,” katanya yang merupakan calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Laporan polis difitnah
Calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Datuk Hasry Sham Chasmen membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya awal lagi tadi kerana difitnah menggunakan gelaran Datuk palsu

Terdahulu, Hasry Sham membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin UMNO Bahagian Ampang selepas memfitnahnya kerana menggunakan gelaran Datuk palsu di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, tengah malam tadi.

Selain itu, Hasry Sham sudah merujuk kepada peguam untuk memulakan tindakan menyaman sebanyak RM3 juta terhadap pemimpin UMNO Bahagian Ampang terbabit kerana memfitnah beliau.

Dalam laporan polis itu antara lain Hasry Sham menyebut bahawa beliau menerima satu tangkap layar aplikasi WhatsApp daripada grup Ketua Pemuda Bahagian dan Exco Malaysia pada 22 Februari lalu.

Tangkap layar itu memaklumkan bahawa seorang individu di dalam grup tersebut mendakwa Hasry Sham menggunakan gelaran Datukship palsu dari sebuah negeri.

Sebelum ini, tular satu salinan laporan polis di media sosial pada 2 Januari lalu yang mendedahkan akaun Twitter milik Suara Biasa bertarikh 7 April 2021 mengenai status gelaran Datuk yang digunakan individu bernama Hasry Sham didakwa mendapat gelaran berkenaan daripada sebuah negeri.

Laporan polis yang tular itu juga mendedahkan ciapan akaun Twitter itu juga menunjukkan bukti e-mel daripada Bahagian Protokol Istana berkenaan mengatakan Hasry Sham tidak mempunyai sebarang rekod menerima anugerah Darjah Kebesaran Negeri dari sebuah negeri.

Pemilik akaun Twitter itu juga mendakwa Hasry Sham menggunakan gelaran berkenaan bagi tujuan perniagaan, politik (UMNO-BN) dan sidang media (Malaysia Gazette).

Laporan itu juga mendakwa Hasry Sham menggunakan gelaran berkenaan untuk mendapatkan jawatan Bendahari Pemuda BN Selangor yang dilantik oleh Ketua Pemuda BN Selangor, Datuk Rizam Ismail pada 8 Mac 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast