Wan Rosdy Wan Ismail mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya

KUANTAN – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan untuk menarik pelaburan sebanyak  RM9.5 bilion ke Pahang pada tahun ini, peningkatan lebih 40 peratus berbanding tahun lepas berjumlah RM5.5 bilion .

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dalam dua bulan pertama tahun ini, ECERDC merekodkan pelaburan komited di Pahang sebanyak RM2.07 bilion.

“Saya menzahirkan keyakinan bahawa ECERDC akan mengekalkan momentum pelaburan dan meningkatkan aktiviti promosi pelaburannya untuk menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan bernilai tinggi ke negeri Pahang.

“Projek dan inisiatif strategik yang dirancang oleh ECERDC untuk negeri Pahang, seperti penambahbaikan infrastruktur dan program pembangunan modal insan yang dijalankan seiring dengan usaha promosi pelaburan akan membantu mengukuhkan kedudukan negeri Pahang sebagai sebuah destinasi pelaburan pilihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, ahli jawatankuasa ICC telah diberi taklimat mengenai status inisiatif pembangunan industri kenderaan rekreasi (RV) di Malaysia, termasuk lawatan pengurusan tertinggi daripada syarikat pengeluar RV Jerman pada bulan lalu.

Jelasnya, ECERDC yang dalam usaha ‘Mencipta Destinasi’ bagi merancakkan sektor pelancongan dan memacu ekonomi tempatan kini sedang menaik taraf Pantai Hiburan Rompin merangkumi pembinaan pintu masuk, menara tinjau, gazebo, kaunter tiket dan kemudahan awam lain.

Kata beliau, Pantai Hiburan Rompin telah dikenal pasti sebagai lokasi Taman Kenderaan Rekreasi (RV) pertama di Wilayah ECER.

Menurut Wan Rosdy, ahli Jawatankuasa ICC Pahang turut diberi taklimat mengenai projek ECERDC lain yang sedang dijalankan, termasuk kerja-kerja menaik taraf Jeti Kg. Salang, Pulau Tioman, paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng dan pembangunan Pantai Hiburan Rompin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast