Lim Guan Eng.- Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Lim Guan Eng mendedahkan tiga fakta bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mampu mengawal DAP semasa menjadi perdana menteri.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, beliau telah melanggar arahan Mahathir sebanyak tiga kali ketika Pakatan Harapan memerintah negara selama 22 bulan selepas Piilian Raya Umum ke-15.

Beliau membuat pendedahan itu selepas Mahathir mendakwa DAP tidak mampu mengawalnya semasa menjadi perdana menteri dan beliau sebagai menteri kewangan terpaksa meminta kebenaranĀ  sebelum mahu melakukan sesuatu.

“Menteri-menteri dalam Kabinet semestinya memaklumkan kepada Perdana Menteri tentang sebarang inisiatif pembaharuan yang mahu dicadangkan. Ini bukan sahaja amalan kebiasaan tetapi juga kerana menghormati kedudukan Perdana Menteri.

“Namun sekiranya Perdana Menteri bersetuju, satu-satunya alternatif yang tinggal kepada menteri ialah merayu kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

“Ini telah saya lakukan sebanyak tiga kali semasa saya menjadi Menteri Kewangan (2018-2020) dalam mendapatkan kelulusan Kabinet berbanding bantahan keras perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata Guan Eng.

Menurutnya, Dr. Mahathir membantah pemberian peruntukan tahunan Ahli Parlimen sebanyak RM 3.8 juta kepada Ahli Parlimen kerajaan.

Mahathir juga membantah kajian semula kontrak kerajaan yang diberikan melalui rundingan terus dan tanpa tender terbuka.

Mahathir turut membantah pengurangan 18 peratus diskaun lebuh raya tol PLUS sebagai langkah pertama ke arah pemansuhan tol.

Guan EngĀ  berkata, Mahathir telah mengugut untuk memecatnya sebagai menteri kewangan kerana telah melanggar arahan.

“Saya berjaya mendapatkan kelulusan Kabinet daripada hampir setiap menteri, untuk ketiga-tiga inisiatif yang menimbulkan kemarahan Perdana Menteri.

“Pada setiap tiga peristiwa Mahathir ditolak oleh Kabinet, dia mengugut untuk memecat saya kerana menentangnya atas tiga inisiatif ini.

“Saya bersedia untuk dipecat tetapi terus melaksanakan inisiatif pembaharuan yang memberikan manfaat kepada rakyat,” kata Guan Eng.

Menurut beliau, Dr. Mahathir tidak melaksanakan ugutannya, sebaliknya meletakkan jawatan atas kerelaan sendiri pada Februari 2020.

Pada 4 Mac lalu media melaporkan, Dr. Mahathir berkata, DAP gagal mengawalnya ketika menjadi perdana menteri buat kali kedua.

Dr. Mahathir berkata, sebagai perdana menteri beliau mempunyai lebih kuasa berbanding DAP.

Menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP ketika itu terpaksa meminta kebenaran beliau sebelum melakukan sesuatu. – MalaysiaGazette