Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dinasihatkan agar menjaga kata-kata dan kenyataan dan mengelak daripada menyinggung kedudukan Majlis Raja-raja dan Sultan Melayu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Abdul Hadi seharusnya mengelak mengeluarkan kenyataan berkaitan agama kerana kuasa untuk melarang mana-mana individu daripada berceramah di masjid adalah di bawah bidang kuasa Sultan dan Majlis Agama Negeri.

“Cuma saya nak ingatkan dalam kenyataan dia supaya jangan menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu kerana jika dia bicara mengenai Perlembangaan ada juga kaedah dia kerana menyinggung kedudukan terutamanya dalam kes Terengganu atau Selangor.

“Ini soal kebenaran di masjid, ini terpakai untuk semua. Termasuk Perdana Menteri. Kalau saya memilih untuk bersyarah rasmi masjid itu harus keluar kerana itu kuasa agama di negeri itu dibawah Raja-raja, jadi kena faham,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis himpunan Kementerian Kewangan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Anwar berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada Sabtu lalu bahawa tidak menjadi atau kesalahan untuk ahli-ahli politik memberi kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.

Sebaliknya, Abdul Hadi berkata, perkara itu adalah satu kewajipan untuk pemimpin bertapak mengenai politik Islam.

“Kita kena sedar dalam Islam, politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Nabi SAW pun cakap pasal politik dalam khutbah.

“Kita bercakap tentang Islam dan dalam politik ada Islam, maka politik Islamlah. Tak jadi salah dan wajib untuk kita bercakap,” katanya di Terengganu, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Anwar menasihatkan Abdul Hadi menghadap Sultan-sultan Melayu sekiranya tidak bersetuju dengan larangan tersebut.

“Kalau dia tidak setuju dia boleh bawa ke persembahan Tuanku, jangan serang kami kerana saya pun tidak boleh sebagai Perdana Menteri (boleh) tapi saya menghormati budaya itu.

“Saya mengelak daripada berucap di masjid kerana saya pergi ke masjid setiap jumaat, itu memang diminta oleh jawatankuasa masjid dan imam untuk menyampaikan sedikit tazkirah selepas Jumaat tapi menghormati arahan jabatan Agama masing, saya mengelak maka saya bersalaman sahaja,” jelas Anwar lagi.

Sebelum ini, Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu, Shaikh Harun Shaikh Ismail dalam satu kenyataan berkata, larangan tersebut dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.

Malah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut melarang penceramah bebas mengadakan ceramah di surau atau masjid di negeri tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast