KUALA LUMPUR – Bantuan yang dihulurkan kepada Turkiye merupakan satu sinergi kerana negara itu pernah membantu Malaysia ketika pandemik Covid-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia hanya menghulurkan sumbangan kecil berbanding yang pernah diberikan oleh Turkiye kepada negara ini yang jumlahnya mencecah ratusan juta ringgit.
“Kenapa baik sangat dengan Turki, ada yang tanya (beri sumbangan dana). Kita beri kecil.
“Semasa kita ada masalah Covid-19 dan ekonomi, banyak pelabur kita di Turki dan pada masa itu Erdogan (Recep Tayyip Erdogan, Presiden Tukiye) bantu kita cecah RM100 juta.
Untuk selamatkan syarikat kita.
“Jadi, persahabatan kita antara dua sahabat…saya sebagai sahabat peribadi dengan Erdogan tentu memanfaatkan. Jadi, bila dalam susah kita ringankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Pertahanan Awam 2023 dan Jamuan Makan Tengahari Bersama Pasukan Penyelamat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Malaysia ke Turkiye di Parlimen, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Satawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Perdana Menteri berkata, bukan mudah untuk menguruskan sebuah negara yang rakyatnya ramai meninggal dunia, malah Turkiye kini memerlukan dana ratusan bilion dolar untuk membina semula negara.
Dalam pada itu Anwar, melahirkan rasa kagum dengan kecekalan dan semangat yang ditunjukkan oleh pasukan penyelamat kerana mampu bertugas dalam apa jua situasi.
“Tentera, polis, pertahanan awam, bomba terpaksa berkhidmat bukan sahaja di Turkiye tapi masa banjir kita lihat di Johor. Saya sampai Johor hari minggu batalkan jadual lain di sini.
“Saya lihat persiapan baik…jentera siap sebelum banjir,” ujarnya
Anwar turut mengucapkan setinggi terima kasih kepada suluruh yang terlibat dalam semua misi bencana kerana telah melaksanakan tanggungjawab yang digalas dengan sebaik mungkin.
“Jadi, saya selaku yang ditugaskan sebagai Perdana Menteri sangat bertuah dan bernasib baik kerana jentera kita efisyen meredakan, meringankan masalah dihadapi rakyat.
“Ucap setinggi terima kasih kepada yang berkhidmat,” tambahnya. – MalaysiaGazette