Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 07 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MoF) perlu mengangkat mengangkat martabatnya sebagai sebuah kementerian yang digeruni kerana tatakelolanya yang tegas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kementerian itu juga dinasihatkan agar menghentikan sebarang usaha untuk memunggah kekayaan negara demi kepentingan individu.

“Saya harap MoF muncul sebagai kementerian gagah dari segi tatakelola, kepintaran, kesungguhan, berkhidmat jadi mercu tanda bukan dari segi gedung dan fikrah,” katanya ketika berucap pada majlis himpunan Kementerian Kewangan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican.

Anwar berkata, beliau mempunyai mempunyai lapan tahun pengalaman yang indah ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan sebelum dipecat.

Katanya, beliau tidak mahu perkara-perkara mengarut terus diamalkan dalam pentadbiran Kementerian Kewangan.

Malah warga kementerian digesa berusaha untuk mengembalikan tugas dengan tegas daripada segi perolehan, pengagihan peruntukan dan sebagainya.

“Saya mahu Kementerian Kewangan kembali tugas yang agak tegas dari segi perolehan dan pengagihan peruntukan serta memantau supaya prinsip kewangan itu lebih telus dan kerana ini saya jadikan ini misi besar memerangi segala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan,” tambah beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, MoF juga harus memantau prinsip kewangan yang lebih telus kerana ia satu misi besar kerajaan memerangi segala penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Beliau berkata, walaupun usaha itu diperlekeh pembangkang tetapi soal tadbir urus adalah serius kerana sekiranya tidak tegas maka negara akan gagal.

Katanya, Kerajaan Perpaduan membawa mesej baharu bukan sahaja dari segi slogan Malaysia Madani tetapi kesunggguhan untuk melaksanakannya.

“Apa pun yang disebut saya tidak kira kerajaan mahupun pembangkang yang cuma melekehkan perkara ini saya nak beritahu bahawa ini hal sangat serius dalam soal menguruskan kerajaan kalau kita tidak betul-betul keras kita akan gagal,” jelasnya. – MalaysiaGazette