Anggota TLDM membawa mangsa kemalangan bot untuk dihantar ke hospital menaiki ambulans. Gambar ihsan TLDM.

LUMUT – Tiga wanita maut dipercayai lemas selepas  dua bot berlanggar di perairan Lumut-Pangkor dekat Manjung berhampiran Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semalam.

Tiga mangsa berusia antara 26 hingga 43 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Laut (HATL).

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, seorang wanita berusia 43 tahun kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HATL manakala 17 lagi mangsa masih dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.

Mengulas mengenai kejadian, Nor Omar berkata, pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak serta dibantu TLDM melakukan misi mencari dan menyelamat mangsa sebaik menerima maklumat pada jam 9.17 malam.

Pihak TLDM memberikan rawatan awal sebelum membawa mangsa ke hospital.

“Siasatan awal mendapati sebuah bot membawa 17 penumpang dan seorang tekong dari arah Lumut ke Pulau Pangkor berlanggar dengan sebuah lagi bot yang dinaiki tiga individu termasuk seorang tekong dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, 10 penumpang tercampak ke dalam laut sebelum diselamatkan oleh kedua-dua tekong bot berkenaan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Pihak HATL kemudian memaklumkan tiga mangsa telah meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu agar menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05 688 6222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast