zaid ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim yakin UMNO merupakan parti yang akan bangkit semula.

Beliau yang merupakan calon bagi jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kebangkitan UMNO adalah disebabkan parti itu telah banyak berjasa kepada negara dan semua itu mampu dilakukan jika ahli-ahlinya membuat perubahan.

“Saya sedar Umno dalam keadaan yang rumit sekarang ini selepas tewas pada 2018 (Pilihan Raya Umum) dan selepas pergeseran kepimpinan dalam parti serta selepas kita menjadi rakan kongsi ‘junior’ dalam kerajaan.

“Sudah tentunya orang bertanya mengapa saya nak menawarkan diri. Jawapannya saya rasa UMNO ‘can only go up’.

“UMNO parti yang pernah berjaya besar dan berjasa besar boleh bangun kembali dengan ahli-ahlinya membawa pendekatan, idea serta cadangan baharu dan cara itu saya percaya kita akan bangkit semula.

“Itulah sebabnya saya menawarkan diri,” katanya menerusi rakaman di Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan mengapa beliau memilih untuk bersama UMNO dan bertanding MKT ketika prestasi UMNO berada di tahap yang lemah.

Zaid menyertai UMNO pada tahun 2000 dan memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu pada 2004.

Beliau kemudiannya dipecat daripada UMNO pada Disember 2008 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden kerana menghadiri majlis pembangkang. – MalaysiaGazette