peneroka Felda
Awang Hashim.

KUALA LUMPUR – Datuk Awang Hashim (Pas-Pendang) dihalang mengikuti sidang Dewan Rakyat serta-merta pada sesi petang ini hingga esok.

Keputusan itu dibuat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas Awang dilihat bangkit beberapa kali dari tempat duduknya mengganggu penggulungan mengenai Belanjawan 2023 oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Johari telah memberi amaran beberapa kali kepada beliau namun, Awang tetap mencelah meskipun tidak diberikan kebenaran untuk berbuat demikian oleh menteri terbabit.

“Saya rehatkan Pendang selama dua hari…out. Keluar Pendang dua hari je,” kata Johari.

Awang bangkit dari tempat duduknya ketika Rafizi menjelaskan mengenai perbelanjaan kerajaan kepada negeri-negeri.

Tindakan Awang itu tidak disenangi oleh Rafizi yang kemudiannya berkata jika Awang hendak jadi ‘badut’ dengan bersikap sedemikian dia boleh melakukannya kepada menteri lain dan bukan ketika beliau membuat penggulungan.

Apa yang diperkatakan oleh Rafizi itu mendapat bantahan daripada Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang menggesa agar Rafizi menarik balik kenyataan tersebut.

Ketika ditanya oleh Speaker sama ada perkataan badut itu terpacul dari mulutnya, Rafizi mengaku beliau ada menyebutnya.

Bagaimanapun, Rafizi mempertahankan perkataan yang disebut itu dengan mengatakan ia lebih baik berbanding pembangkang yang sering melemparkan pelbagai tohmahan kepada kerajaan hari ini.

Menurutnya, beliau membuat perkara lebih penting yang hendak disebut di dalam dewan dan bukan melayan kerenah seperti ditunjukkan oleh Awang.

Beliau kemudian menarik balik perkataan yang disebut itu setelah diminta oleh Speaker.

Tindakan Johari yang mengarahkan agar Awang direhatkan hingga esok kurang disenangi oleh pembangkang dengan menyatakan ia tidak adil kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu.

Ahli Parlimen (Pas-Kubang Kerian), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kemudiannya meminta agar semua Ahli-ahli Parlimen tidak melakukan provokasi antara satu sama lain bagi mengelak ketegangan pada sesi penggulungan yang sedang berlangsung.

Sidang Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan penggulungan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Terdahulu, penggulungan oleh Rafizi turut mendapat celahan beberapa Ahli-ahli Parlimen pembangkang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast