KUALA LUMPUR – Nama Butik Cosry cukup popular pada awal tahun 2000.
Sebut sahaja nama empayar butik itu, pasti terlintas kelibat selebriti dan VIP yang sering menggayakan koleksi busananya.
Sentuhan ‘emas’ dua pengasasnya, Allahyarham Putra Aziz dan Ariff Quasry menjadikan butik itu antara pilihan utama kepada bakal raja sehari dan mereka yang mengutamakan ketrampilan untuk ke acara rasmi, majlis keraian dan musim perayaan.
Mereka bukan sahaja rakan perniagaan yang bersama-sama mengasaskan jenama Cosry malah adalah rakan akrab yang tiada galang gantinya walaupun nama butik itu tenggelam timbul dek ledakan kemunculan pereka fesyen muda.
Justeru, pemergian Putra sebagai Pengarah Kreatif Cosry pada Disember tahun 2021 meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada Ariff sebagai Pengarah Urusan dan Pengasas Cosry.
Kini Putra tiada lagi dan ‘pemergiannya’ membuatkan Ariff terpaksa mencari kekuatan dalam meneruskan legasi butik itu apatah lagi berdepan ujian yang tidak disangka.
Selepas enam bulan Putra ‘pergi’, Ariff kini bangkit semula dan jika selama ini beliau lebih senang berada di belakang tabir Cosrry namun kini beliau ‘ke depan’ sekali gus meletakkan dirinya sebagai pereka utama jenama itu.
“Selepas enam bulan Putra meninggal meninggal dunia, pada 4 Jun lalu, butik Cosry yang terletak di Sri Hartamas terbakar dan semua koleksi rekaan Putra yang dikumpul selama 15 tahun turut terbakar tanpa sempat diselamatkan walaupun sehelai.
“Barang kenangan arwah hilang lenyap dalam sekelip mata. Bangkit di atas kesedihan itu, saya yakin pasti ada hikmah di atas setiap ujian Allah SWT ke atas hamba-Nya, lalu saya kuatkan semangat untuk membina semula nama Cosry..
“Tragedi itulah yang menjadi titik tolak kepada saya untuk membuka lembaran baru, berfikir secara rasional dan mula merancang untuk memulakan perjalanan baru Cosry,” katanya.
Berkat doa, sokongan keluarga dan kenalan, Ariff dipertemukan dengan Datin Philomena Simeon apabila perkenalan mereka bermula selepas wanita itu menjadi pelanggan butik dan kebetulan beliau turut meminati bidang fesyen dan tekstil.
Atas persetujuan perbincangan di antara kedua-dua pihak, Philomena kini menyertai pasukan kerja Cosry sebagai Pengarah dan Rakan Kongsi sekali gus melancarkan penjenamaan baharu butik itu yang lebih segar selain rekaan yang ditawarkan untuk semua golongan sasaran terutama orang muda dengan harga mampu milik.
Jelas Ariff, ketika Putra masih ada, beliau sebenarnya turut memberi idea dan suntikan idea kepada rekaan Cosry namun ketika itu beliau tidak mahu menonjolkan diri dan memberi sepenuh kepercayaan kepada arwah sebagai ‘wajah Cosry’ .
“Waktu itu saya lebih tertumpu kepada urusan pentadbiran pembangunan perniagaan dan penjenamaan Cosry. Selepas ketiadaan arwah, pernah juga saya mencari pengarah kreatif yang baru namun tiada yang bersesuaian dan memahami rekaan atau DNA yang telah kami berdua asaskan sehingga menjadi signature kepada setiap rekaan kami berkonsepkan elegan dan klasik.
“Atas persetujuan Datin Philomena, maka saya mengambil alih tempat Putra sebagai Pengarah Kreatif Cosry dengan dibantu dua pereka fesyen.
“Untuk penjenaam semula ini, setiap rekaan adalah ilham dan sentuhan saya sendiri sepenuhnya tanpa ada lagi koleksi Putra. Bukan melupakan magis Putra tetapi barangkali ia adalah penyebab untuk Cosry mengkaji semula pasaran dan cita rasa peminat fesyen,” katanya.
Ariff menambah, Cosry akan keluar dengan rekaan baru yang ‘lebih kelihatan muda’ tanpa menumpukan semata-mata kepada golongan VIP dan atasan.
“Jika sebelum ini juga, rekaan kami lebih bersifat ‘mature’ tetapi untuk ‘wajah baru’ ini, Cosry perlu mendekati dan mencari pelanggan baharu yang berusia 25 tahun ke 35 tahun kerana mereka inilah yang akan menyemarakkan lagi industri fesyen tanah air.
Buat masa sekarang, Cosry beroperasi di sebuah kediaman di Bangsar dan untuk memudahkan pelanggan untuk melihat sendiri pakaian yang sudah siap atau membuat tempahan, pelanggan boleh mengunjungi Pop-up Store Cosry yang terletak di tingkat dua, Shoppes At Four Seasons Place di Jalan Ampang.
Namun butik Cosry yang baharu akan beroperasi di Jalan Maarof, Bangsar kerana ketika ini dalam pengubahsuaian dan dijangka siap pada Jun ini. – MalaysiaGazette