Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – “Tidak ada yang tersembunyi, ini bang Matlah. Cuma bila jadi kerajaan ini, cakap perlahan sikit.

“Kalau duduk sebelah sana (pembangkang) memang seronok. Tapi, dah duduk sebelah sini, tak mahu la pergi sebelah sana”.

Itu reaksi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada sesi penggulungan pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Tindakan Ahli Parlimen Kota Raja yang berseloroh sedemikian mencuit hati ahli-ahli Dewan Rakyat di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Terdahulu, dalam penggulungannya Mohamad menegaskan, tidak ada sebarang fakta yang disembunyikan berkaitan dengan inisiatif kerajaan mengimport telur dari India.

Beliau berkata, pihaknya sedia mendedahkan maklumat yang diminta pembangkang atau mana-mana pihak berhubung inisiatif tersebut.

Mohamad turut mengesahkan bahawa J&E Advance Tech sdn Bhd adalah syarikat tunggal yang diberi kebenaran untuk mengimport telur dari India.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan pemberian permit import kepada syarikat itu tidak dibuat secara tender terbuka, memandangkan situasi bekalan telur yang meruncing memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.

“Tiada, tiada. Tak ada langsung peruntukan kerajaan (dalam import telur dari India). Ia tidak (dilaksanakan secara tender terbuka) sebab kita buat inisiatif ini dalam keadaan nak menampung bekalan telur secara sementara, maka dibuat kepada kes khas.

“Selepas ini, kalau bekalan telur ini pulih, kita akan kurang atau hentikan import.

“Kalau keadaan meruncing misalnya berlaku banjir atau kehilangan sumber bekalan, kita boleh import menerusi mana-mana syarikat yang bersedia seperti dari Thailand, Turkiye dan negara lain.

“Syarikat ini (yang mendapat kebenaran import) J&E. Pergi periksa tengok siapa pengarah dia, siapa pengerusi, periksa. Bagi saya, tidak sembunyi apa-apa, saya akan dedahkan semua. Ini Abang Mat la,” katanya.

Menyambung penggulungannya, Mohamad menzahirkan keyakinan bekalan dan harga telur akan pulih semula kepada keadaan kira-kira lima tahun lalu, di mana Malaysia menjadi antara pengeksport telur terbesar dunia ketika itu.

“Dalam lima, enam tahun lalu, kita eksport telur. Situasi meruncing dalam masa dua tahun ketika penularan Covid-19 dan kita beri AP (permit import) itu untuk jangka pendek.

“Kita usaha sekarang dan berdialog dengan pihak pengeluar telur dan sebagainya, mereka berjanji untuk banjiri pasaran telur dalam waktu terdekat ini, terutamanya menjelang Aidilfitri.

“Dengan keadaan yang lancar, harap tak berlaku lagi bencana besar di mana-mana, kita akan dapat pulihkan kedudukan seperti lima tahun lalu,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. telur ayam mana mat?? dah berapa bulan ni jadi menteri isu tak selesai, jangan pandai cakap je tapi isu sama je, kalianat

Comments are closed.