menghendap banduan hukuman mati bunuh diri Azalina jawatan
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan merujuk Akta Pendanaan Politik kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) supaya semua wakil rakyat boleh memberi pandangan dan cadangan  mengenainya diambilkira.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan juga akan mengambil kira amalan dan perundangan yang sedia ada untuk mengatasi isu dana politik, antaranya Akta Suruhanjaya Pencegahan.

“Untuk Akta Pendanaan Politik, kita akan rujuk kepada jawatankuasa pilihan khas seperti yang dibincangkan sebelum ini.

“Saya difahamkan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan membuat pengumuman mengenai kewujudan jawatankuasa pilihan khas Parlimen.

“Jadi, Akta Pendanaan Politik itu akan dirujuk kepada salah satu jawatankuasa berkenaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata, Malaysia Madani mementingkan kepercayaan yang dicerna antara kerajaan dan rakyatnya berdasarkan asas ketelusan dan kerjasama.

Justeru katanya, kerajaan komited membanteras rasuah dan politik wang dan disebabkan itu Rang Undang-undang (RUU) Dana Politik itu perlu diangkat semula untuk kelulusan dasar baharu oleh Jemaah Menteri.

“Susulan perkembangan politik pasca Pilihan Raya Umum-15 (PRU15), landskap politik di Malaysia turut mengalami beberapa perubahan di mana terdapat gabungan politik yang baru.

“Oleh yang demikian, sesi libat urus perlu diteruskan untuk mendapatkan maklum balas parti-parti politik dan pihak berkepentingan agar RUU yang bakal digubal ini adalah inklusif dan komprehensif,” tambahnya. – MalaysiaGazette