Rumah kontena yang selesa buat mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berjaya melaksanakan misi bantuan mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria dengan penyerahan enam kontena yang kini berdepan musim sejuk.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya akan terus menghantar lagi kontena secara berperingkat dalam masa terdekat ini.

“Syukur, alhamdulillah kami telah serahkan 6 biji rumah kontena kepada mangsa gempa bumi Turkiye-Syria.

“Insya-Allah lebih selesa berbanding tinggal dalam khemah, lebih-lebih lagi di musim sejuk ini.

“Ini misi kedua. Kami akan terus hantar lagi rumah kontena-kontena ini untuk misi seterusnya dalam masa terdekat,” tulisnya di Facebook miliknya.

Sebelum ini, seramai tujuh ahli Parlimen telah melaksanakan misi bantuan mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria bagi penyediaan rumah sederhana kekal daripada kontena, bantuan makanan serta pakaian untuk musim sejuk.

“Kami membawa bantuan keperluan musim sejuk seperti pakaian tebal dan makanan kerana keadaan di sana kini sangat sejuk,” kata Tuan Ibrahim.

Rumah kontena turut dilengkapi bilik air.

Sementara itu, pasukan ketiga misi itu iaitu Pasukan Perubatan Sekretariat Aid4Turkiye&Syria selamat tiba di Turkiye semalam.

“Ia diketuai oleh Dr Suhazeli Abdullah, Timbalan Pengarah 1 PASRelief bersama pakar perubatan dari Papisma, Persatuan Wanita ‘Afiyah, Warga Cakna, dan doktor pergigian dari Kelab Jelitawan Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah.

“Kumpulan doktor ini dibantu oleh Dewan Ulamak dan Muslimat PAS Pusat di mana tumpuan utama pasukan perubatan ini adalah untuk menjalankan pemeriksaan primer kepada mangsa-mangsa gempa bumi dan membuat saringan kesihatan yang berkaitan.

“Doktor pergigian yang diketuai oleh Dr Rosni Adam merangkap Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat pula akan menjalankan pemeriksaan gigi serta pengagihan dental kit kepada mangsa bencana,” tulis PasRelief. – MalaysiaGazette

Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man.