Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Wilayah Persekutuan merupakan daerah paling ramai penduduknya mengalami masalah kemurungan (anxiety) dengan 336,900 orang dikesan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan keputusan saringan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu diketahui selepas saringan dilakukan  pada tahun lepas.

Wilayah Persekutuan merangkumi kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Dalam keputusan itu, kita dapati negeri yang tertinggi dengan masalah kemurungan dan anxiety ini adalah di Wilayah Persekutuan.

“Haa..jadi, orang Wilayah ini banyak masalah ye,” selorohnya di Dewan Rakyat hari ini.

Dr. Zaliha Mustafa

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan, Mohd Sany Hamzan (PH – Hulu Langat) yang bertanya negeri manakah yang menghadapi masalah gangguan mental di negara ini.

Menurut Dr. Zaliha lagi, sebab-sebab berlakunya kemurungan itu adalah kerana masalah kos sara hidup yang tinggi dihadapi oleh warga kota terutama dalam kalangan B40.

Selain itu, beliau berkata, ia juga disebabkan masalah perhubungan di mana ada ibu bapa yang mahukan anaknya menjadi menteri.

“Masalah perhubungan ini contohnya tekanan daripada ibu bapa yang mahu anaknya menjadi menteri. Jadi, stress anak-anaknya kasihan.

“Perhubungan dengan rakan sebaya dan mungkin dengan teman…itu adalah antara sebab-sebab mereka yang mengalami masalah kemurungan dan anxiety,” ujarnya.

Katanya lagi, KKM telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi permasalahan kesihatan mental yang dialami oleh masyarakat khususnya bagi kumpulan sasar termasuk kanak-kanak remaja, golongan muda dan warga emas.

Tambah beliau, sebanyak 1,161 Klinik Kesihatan, 58 buah hospital, 34 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI), dan empat institusi mental telah disediakan meliputi aspek promosi, pencegahan, pengesanan awal dan rehabilitasi.

Jelasnya, KKM juga telah mengadakan kolaborasi dengan kementerian lain iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“KKM juga melaksanakan Kempen Let’s Talk Minda Sihat yang merupakan satu smart partnership melibatkan agensi kerajaan serta pihak badan bukan kerajaan (NGO) dalam mempromosikan penjagaan kesihatan mental,” ujarnya.

Jelasnya, KKM juga sedang membangunkan Pelan Tindakan Demensia bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan demensia.

“Komponen kesihatan mental juga terkandung dalam Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 yang sedang dikemas kini,” katanya. – MalaysiaGazette