Lans Koperal Muhamad dihadapkan di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM900.

BUTTERWORTH –  Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM900 dalam tempoh tiga tahun antara 2016 hingga 2018.

Tertuduh, Muhamad A. Jalalal, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Muhamad sebagai Lans Koperal yang bertugas di Unit Operasi Lebuhraya Zon Utara 3, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman didakwa menerima suapan berjumlah RM900 daripada syarikat Kedah Coastal Transport & Trading Company Sdn. Bhd.

Tertuduh dibebaskan dengan jaminan.

Tertuduh didakwa menerima rasuah itu daripada pengarah syarikat menerusi akaun bank CIMB yang mana syarikat itu terbabit dengan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan-kesalahan tersebut di bank CIMB dan Maybank, Cawangan Jalan Baru, Taman Chai Leng di sini antara November 2016 hingga Februari 2018.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Liyana Rozman dan Noor Azura Zukiflee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, ketika rayuannya, Muhamad yang kini bertugas sebagai Lans Koperal Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Ipoh, Perak memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan dia menanggung banyak hutang selepas ditahan tugas.

Tertuduh yang berpendapatan kira-kira RM1,000 sebulan memberitahu mahkamah, dia menyara seorang anak autisme dan bapa yang menghidap penyakit jantung.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan seperti mana yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Selain dikenakan syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan dokumen perjalanan dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhampiran rumah setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 10 April depan. – MalaysiaGazette