Simbolik penyerahan telah disampaikan oleh Y.Bhg Dato' Adissadikin Ali, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad kepada Y.Bhg Prof Dato' Ir. Dr. mohd Hamdi Abd Shukor, Naib Canselor Universiti Malaya bagi mewakili 10 pelajar asnaf UM sambil diiringi oleh Encik Mohammed Hassan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP.

KUALA LUMPUR – RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Universiti Malaya hari ini menyerahkan sumbangan tajaan yuran pengajian kepada 10 pelajar asnaf Universiti Malaya (UM) bernilai RM5,000 dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM50,000.

Sumbangan ini merupakan kesinambungan daripada Kempen Pelanggan Mewah Kumpulan Perbankan RHB yang diadakan pada 2022, yang mana pembayar zakat dalam kalangan pelanggan dan kakitangan RHB mengambil bahagian dalam Skim Wakalah (pengembalian semula wang zakat) untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP,  Mohammed Hassan berkata, pihaknya menawarkan Skim Wakalah atau pengembalian semula sehingga 50% kepada individu yang menunaikan zakat serendah RM20,000 hingga RM1 juta setahun di PPZ-MAIWP.

“Melalui Skim Wakalah ini para pembayar zakat boleh mengambil kembali bahagian wang zakat yang ditunaikan untuk diagihkan sendiri kepada asnaf dan mereka yang berkemampuan,” katanya.

Majlis yang disempurnakan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali itu merupakan kerjasama strategik antara PPZ-MAIWP bersama para pembayar zakat RHB melalui Kempen Pelanggan Mewah RHB bagi menyantuni pelajar-pelajar asnaf di UM.

Hadir pada majlis, Naib Canselor UM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor.

PPZ-MAIWP turut menawarkan kerjasama-kerjasama strategik bagi membantu menguruskan dana wakalah pembayar zakat melalui program-program turun padang yang diadakan.

Sementara itu, Adissadikin, mengucapkan terima kasih kepada para pembayar zakat yang menyertai inisiatif “Pakej Khas untuk Pembayar Zakat di Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan” yang dilancarkan pada September 2022 oleh RHB Islamic.

“Pada tahun ini, lebih daripada RM100,000 Zakat Wakalah telah berjaya dikumpulkan di bawah Pakej Khas ini.

“Kami berharap agar dapat terus bekerjasama lagi untuk mengembangkan inisiatif-inisiatif berimpak tinggi, melalui pelbagai mekanisma zakat serta instrument kewangan sosial Islam yang lain di masa hadapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette