Penyeludupan PATI didalangi warga tempatan di Kelnatan berjaya ditumpaskan Imigresen.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia yang didalangi oleh warga tempatan di Kelantan.

Seramai 15 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam Ops Gelombang 2 pada 6 Mac lalu di beberapa lokasi di negeri berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Mohd Daud berkata, operasi yang bermula pukul 3.15 pagi itu disertai  enam orang pegawainya dengan dibantu oleh sekumpulan pegawai JIM  Negeri Kelantan.

Katanya, operasi tangkapan itu adalah rentetan hasil kejayaan operasi terdahulu yang telah dijalankan pada Oktober 2022.

“Dalam serbuan di kawasan sekitar Jeli dan Gua Musang, pasukan operasi telah berjaya menahan seramai tiga orang lelaki warganegara Malaysia berumur antara 39 hingga 60 tahun yang bertindak sebagai  pengangkut (transporter) bagi sindiket berkenaan.

“Turut ditangkap ialah seramai 15 orang PATI berumur antara 24 hingga 54 tahun yang terdiri daripada 12 orang lelaki dan tiga orang wanita Indonesia yang dipercayai baru tiba dari negara jiran melintasi Sungai Golok dan kemudian dipindahkan dengan tiga buah kenderaan ke rumah penampungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah beliau, berdasarkan maklumat orang awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi mendapati modus operandi sindiket adalah memasuki negara ini melalui laluan udara ke Thailand daripada Indonesia dan menyeludup melintasi sempadan Malaysia -Thailand melalui Sungai Golok.

Malah, katanya, dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap orang untuk masuk ke Malaysia.

“Kesemua PATI ini kemudian akan di bawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah manakala bagi PATI wanita pula, mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks.

“Siasatan awal mendapati transporter tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap orang PATI yang diangkut dari sempadan menaiki kenderaan yang ditetapkan.

“Semasa serbuan dilakukan terdapat transporter dan PATI yang cuba melarikan diri dengan bertindak secara agresif dan memberi ancaman secara fizikal namun tindakan mereka berjaya digagalkan oleh pegawai operasi,” ujarnya.

Tegasnya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Mei 2022 dan menyasarkan PATI dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini.

Khairul Dzaimee memberitahu,  berdasarkan anggaran seramai 160 PATI sebulan yang di bawa masuk, kerajaan dianggarkan mengalami kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.

Kesemua PATI ditangkap disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Manakala tiga lelaki tempatan pula akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan.

“Kesemua 3 buah kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM100,000 akan disita untuk tindakan lanjut jabatan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast