Sindiket curi kenderaan tumpas selepas tujuh tahun dalam sidang media khas oleh ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid hari ini.

PETALING JAYA – Polis berjaya menyelesaikan satu kes curi kereta yang berlaku pada 2017 apabila berjaya menahan seorang suspek yang diburu hampir tujuh tahun lalu.

Suspek warga tempatan itu berjaya diberkas di sebuah kediaman di Jalan Wawasan, Pusat Bandar Puchong dekat sini pada 1 Mac lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek lelaki berusia 32 tahun ditangkap dalam serbuan yang dijalankan pukul 5.30 petang itu di Bandar Puchong.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan di dalam rumah suspek, polis berjaya merampas empat kenderaan lama iaitu dua Proton Wira, dan masing-masing sebuah Proton Perdana dan Proton Saga yang ditemui disembunyikan di belakang rumah suspek itu.

“Pemeriksaan lanjut terhadap salah sebuah kenderaan jenis Proton Wira oleh pasukan polis mendapati kenderaan itu telah dilaporkan hilang di Serdang.

“Pemeriksaan ke atas tiga lagi kenderaan mendapati kesemua nombor casis serta enjin tidak sempurna dan sudah diganggu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, menerusi soal siasat, suspek  mengaku mencuri serta menyembunyikan sebuah kenderaan lama jenis Perodua Kancil yang dicuri pada 2017 di kawasan Sungai Way.

Katanya, pada hari sama kira-kira pukul 7.45 malam, sepasukan polis dipandu arah oleh suspek telah pergi ke tempat parkir kereta di Apartment Sri Subang di sini sebelum suspek menunjukkan sebuah kereta Perodua Kancil yang berada dalam keadaan tidak sempurna ditinggalkan.

“Hasil pemeriksaan dan semakan terhadap nombor casis dan enjin mendapati ia kereta yang dilaporkan hilang di daerah ini pada 19 Jun 2017 dan pemilik asal kenderaan itu adalah seorang wanita tempatan berusia 39 tahun.

“Semakan polis juga mendapati suspek memiliki sebanyak 26 rekod lampau kesalahan jenayah berkaitan kes jenayah curi kenderaan serta dadah.

“Suspek itu kini direman sehingga semalam dan sudah mendapat arahan untuk dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi,” tegasnya.

Suspek curi komponen kenderaan lama di parkir Taman Medan menggunakan lori ditumpaskan polis PJ.

Dalam kes berasingan, Mohamad Fakhrudin memaklumkan pihaknya berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri kenderaan lama dan terbiar di tempat parkir kenderaan di sekitar daerah ini khususnya menyasarkan perumahan di Taman Medan pada Sabtu lalu.

Katanya, suspek ditahan sepasukan polis Cawangan D4 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, kira-kira pukul 12.30 tengah hari di tempat parkir lori berhampiran Taman Medan.

“Suspek berusia 33 tahun ditahan ketika dia sedang mengangkat beberapa komponen kenderaan yang telah dipotong dan dileraikannya ke dalam sebuah lori.

“Kita turut merampas sebuah lori serta beberapa peralatan untuk memotong komponen kenderaan termasuk beberapa komponen kenderaan yang sudah dileraikan.

“Modus operandi yang digunakan suspek adalah memotong serta meleraikan kenderaan jenis lama yang ditinggalkan terlalu lama di kawasan perumahan Taman Medan sebelum dileraikan dan komponennya dijual semula dalam pasaran gelap,” ujarnya.

Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Sepanjang Januari hingga Februari lalu, polis telah menerima sebanyak 10 laporan polis berkaitan kes hilang kenderaan lama yang diparkir di tempat awam,” kata Mohd Fakhruddin.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast