Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai . Foto MUHD NA'IM, 02 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Tiga suspek lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam jenayah samun berkumpulan dengan menyasarkan rumah yang berpenghuni di Sentul berjaya ditumpaskan polis pada Ahad lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun telah berjaya diberkas di Damansara dan juga Petaling Jaya menerusi satu serbuan polis jam lebih kurang 12.30 tengah malam hingga pukul 5.15 petang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah menerima satu laporan pada 25 Februari lalu mengenai insiden samun berkumpulan yang berlaku di dalam sebuah rumah di Taman Pelangi.

“Mangsa yang membuat aduan merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 45 tahun bekerja sebagai seorang guru sekolah.

“Ketika kejadian berlaku, mangsa sedang berada di dalam bilik tidurnya telah didatangi dan ditumbuk oleh suspek di muka, dipukul di bahagian leher dan diikat dengan menggunakan wayar.

“Kemudian suspek telah melarikan sebuah telefon bimbit, seutas jam tangan, kad bank dan juga wang tunai bernilai RM6,000,” katanya dalamĀ  kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, hasil siasatan polis mendapati modus operandi kumpulan berkenaan adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menyasarkan rumah yang berpenghuni tetapi persekitaran yang sunyi.

Katanya, susulan daripada tangkapan kesemua suspek itu, polis berjaya membuat beberapa rampasan barang disyaki dicuri suspek iaitu seutas jam tangan milik mangsa, dan dua buah telefon bimbit pelbagai jenama.

“Polis juga menerusi pemeriksaan lanjut ke atas suspek berjaya merampas serangkai anak kunci, sebuah motosikal dan beberapa helai pakaian yang digunakan oleh suspek dalam kejadian samun itu.

“Semakan polis mendapati kesemua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan kini direman sejak Ahad lalu untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Ekoran dari tangkapan ketiga-tiga suspek samun berkumpulan ini, polis telah berjaya menyelesaikan empat kes di Kuala Lumpur dan satu lagi kes di Selangor dan kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” tegasnya.-MalaysiaGazette