Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa. Foto MOHD ADZLAN, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, beliau tidak pernah campur tangan dan kes rasuah mahupun penyelewengan membabitkan pemimpin politik.

Perdana Menteri berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan dipercayai berkaitan projek Jana Wibawa adalah urusan agensi itu.

“Saya tidak campur, tetapi saya beritahu kepada SPRM atau Pejabat Peguam Negara tengok kes (dulu). Jadi, (Presiden Bersatu) setuju atau tidak setuju dengan tindakan agensi itu, perlu tengok kes dahulu.

“Tengok dahulu apa pendakwaannya dan apa pertuduhannya. Sekarang ini, belum tahu apa keputusan. Hanya setakat dipanggil.

“Tetapi, untuk mengatakan (mendakwa) semua kes yang diambil itu ada motif politik, maknanya tidak boleh tangkaplah. Maknanya kes rasuah yang besar lain kena lepas?,” katanya kepada media selepas merasmikan Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.

Media melaporkan, Muhyiddin hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini untuk memberi keterangan selepas beberapa pemimpin tertinggi Bersatu disiasat dan ada yang dituduh di mahkamah atas dakwaan menyeleweng dana kerajaan di bawah Inisiatif Projek Jana Wibawa.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau sering kali menjawab kenyataan balas pemimpin Bersatu apabila ada antara mereka disoal siasat SPRM agar melihat dahulu jenis kes yang dikaitkan.

Katanya, beliau sendiri tidak tahu apa pertuduhan ke atas Muhyiddin kerana itu urusan SPRM.

“Saya nak tegaskan semua orang yang mahu negara ini bersih dari rasuah harus lihat kes satu persatu sama ada benar ada pendakwaan politik yang disebut atau pun berdasarkan fakta.

“Bagaimanapun, apa yang saya sebut selama ini adalah mengenai kes berwibawa tebatan banjir yang dibuat berdasarkan dokumen Kementerian Kewangan, bukan SPRM atau Jabatan Peguam Negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

ARTIKEL BERKAITA

Tuduhan terhadap Muhyiddin bersifat dendam- Saifuddin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast