Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Sambutan Ulang tahun ke-6 Bersatu di Presint 2, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjangkakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, jangkaan itu berdasarkan tindakan SPRM memanggil Muhyiddin ke ibu pejabatnya, pagi ini.

“Hari ini adalah satu hari tindakan kerajaan Madani yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana Tan Sri Muhyiddin diarahkan untuk ke pejabat SPRM untuk dirakamkan keterangan.

“Dijangka beliau akan ditahan (hari ini) dan akan didakwa di mahkamah esok. Kami melihat tindakan ini adalah sangat tidak berperikemanusiaan kerana kami akan mengadakan pemilihan parti esok.

“Selain itu Dewan Rakyat juga sedang bersidang manakala tuduhan yang dilemparkan kepada beliau tidak seperti mana yang diwar-warkan,” katanya di hadapan ibu pejabat SPRM.

Tinjauan Malaysia Gazette di perkarangan Ibu Pejabat SPRM mendapati ramai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah hadir memberi sokongan kepada bekas perdana menteri itu.

Antara yang kelihatan adalah Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam pada itu, Razali berkata Bersatu akan meneruskan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) yang akan diadakan esok sehingga Ahad depan.

“Kita akan teruskan PAT seperti biasa tapi agenda akan berubah mengikut keadaan semasa. Kalau dikatakan Tan Sri Muhyiddin tidak dapat hadir kerana ditangkap dan direman, kita akan ubah agenda mesyuarat kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.