Ahmad Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah menghalang kebebasan orang ramai untuk berkarya dan mengekspresikan diri melalui kandungan kreatif di platform media sosial selagi ia tidak menyentuh sensitiviti berkaitan 3R iaitu race (bangsa), religion(agama) dan royalty (raja).

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata walaupun begitu, pihaknya dengan kerjasama penyedia platform media sosial terus melakukan pemantauan bagi memastikan kandungan yang menyentuh 3R tidak tersebar.

“Dalam bab keselamatan awam, sekiranya berlaku kacau ganggu dalam khalayak ramai atau ada masalah sebaran ajaran sesat, ekstremisme militan dan keganasan memang kerajaan akan ambil tindakan yang pantas.

“Di Malaysia, kita tidak menghalang orang untuk berkarya, berekspresi atau bersuara tetapi kita ada undang-undang, adab serta budaya… Penting untuk kita ingat walaupun kita ada hak untuk bersuara, tetapi kita tidak ada hak untuk menyebar fitnah dan maklumat palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan KNKV Viral Award dan majlis penjenamaan semula KNKV Group di sini hari ini.

Sementara itu, Fahmi berkata pihaknya terutamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitmedia Malaysia (MCMC) tidak selalunya meminta penyedia platform media sosial untuk menurunkan sesuatu kandungan, kecuali jika ia mendapat aduan orang ramai atau dikesan menyentuh mengenai 3R.

“Hampir 95 peratus daripada kandungan jika diturunkan adalah disebabkan pembuat kandungan itu melanggar panduan komuniti (yang ditetapkan penyedia platform). Malah, jika berlaku berulang kali, platform itu sendiri akan menutup akaun tersebut,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast