GEORGE TOWN – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal pada 1 Mac lalu.
Tertuduh, S.Ramesh, 33, membuat pengakuan tersebut dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.
Berdasarkan pendakwaan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan ke atas anggota polis Mohamad Azril Syamil Mohamad Hanafi.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 12.15 tengah malam, 1 Mac lalu di di sebuah rumah No 10A, Lebuh Thean Teik dalam daerah Timur Laut.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ramesh yang bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan sekitar RM1,300 sebulan meminta agar dibenarkan jaminan.
Bagaimanapun pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor tahap keseriusan jenayah.
Hakim Mohammad Khalid kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.
Selain itu, tertuduh juga diarahkan untuk tidak mendekati mangsa dalam apa jua cara.
Mahkamah menetapkan 11 April untuk sebutan semula kes.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette pada 1 Mac melaporkan anggota polis berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan di kepala akibat ditetak ketika bergelut dengan tokan dadah dalam kejadian di Air Itam di sini.
Kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam turut mengakibatkan tengkorak kepala mangsa berusia 29 tahun itu retak sususlan suspek menggunakan pisau pemotong daging untuk menyerang. – MalaysiaGazette